SHAH ALAM: Enam usahawan bimbingan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di bawah Program Pecutan Eksport (EAP) dengan kerjasama SME Corporation Malaysia berjaya menembusi pasaran Jepun, sekali gus berpeluang menyertai Ekspo Dunia Osaka 2025.
Enam syarikat tersebut adalah Nims Adeliciousz Sdn. Bhd., Nourish Nova Sdn. Bhd., TFN Brownies Sdn. Bhd., The Skinny Bakers Sdn. Bhd., MFaez Food Sdn. Bhd. dan Aducktive Sdn. Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, pencapaian itu merupakan satu langkah besar dalam usaha meletakkan usahawan tempatan sebagai pemain utama dalam ekonomi global.
“Acara pelepasan hari ini bukan sekadar simbolik penghantaran produk, sebaliknya lambang pencapaian kolektif antara PKNS, SME Corp. dan para usahawan dalam merealisasikan agenda eksport Bumiputera ke pasaran premium seperti Jepun.
“Usahawan ini bukan sahaja membawa produk Malaysia, tetapi juga semangat, identiti dan keyakinan bahawa produk tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya pada Majlis Pelepasan Produk Usahawan EAP ke Jepun, di sini semalam.
Enam syarikat terpilih berjaya melepasi pelbagai penilaian dan kelayakan, sekali gus membolehkan produk mereka memasuki rangkaian pasar raya utama Jepun seperti Don Quijote serta saluran hotel, restoran dan katering (Horeka).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy berkata, kerjasama dengan PKNS bukan sahaja memperkasa PKS tempatan, malah menyasarkan lebih banyak syarikat pengeksport berdaya saing di peringkat global.
“Jepun dipilih kerana merupakan antara empat ekonomi terbesar dunia dan negara Asia yang menganggotai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). Justeru, ia menjadi pasaran strategik bagi PKS Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, hala tuju SME Corp. dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dari 2026 hingga 2030 adalah untuk meningkatkan tahap PKS supaya tidak kekal sebagai mikro atau kecil, sebaliknya berkembang menjadi syarikat sederhana yang mampu mengeksport dan tersenarai di Bursa Malaysia.
“Bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi, kita perlu tingkatkan nilai jualan dan eksport dan PKS yang mewakili 97 peratus perniagaan di negara ini berperanan besar ke arah itu,” ujarnya.
Pencapaian ke Jepun merupakan kemuncak kepada pelaksanaan Program EAP sejak 2024, hasil kerjasama strategik antara PKNS dan SME Corp. melalui program pembangunan intensif ke atas 30 usahawan berpotensi tinggi yang digilap daripada Program Market Accelerations for Export & Retail Product (MEXPRO).
Sepanjang pelaksanaan program, peserta diberi bimbingan menyeluruh merangkumi aspek pensijilan, penambahbaikan produk serta strategi pemasaran untuk menepati piawaian ketat dan citarasa pengguna Jepun yang sofistikated.
Ketika ini, keenam-enam usahawan terbabit telah berada di Jepun bagi menyertai Ekspo Dunia Osaka 2025 yang berlangsung dari 14 Mei hingga 13 Oktober ini, dengan produk mereka turut dipasarkan secara rasmi sepanjang tempoh ekspo berlangsung. – UTUSAN