Pertukaran brek mudahkan tunggangan Bagnaia

Sukan

ALCANIZ: Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia mengesahkan dia dapat merasakan peningkatan pada bahagian hadapan selepas menggunakan cakera brek lebih besar berukuran 355 milimeter (mm) pada jentera miliknya semasa ujian di Aragon semalam.

Juara dunia dua kali itu bergelut mendapatkan semula kehebatannya ketika memasuki selekoh sejak menunggang jentera GP25 model terkini, telah mencuba brek yang lebih besar itu semasa sesi pemanas badan pada Ahad lalu.

Selepas keputusan hambar di tempat ke-12 dalam perlumbaan pecut Sabtu lalu, pelumba Itali itu kembali menunjukkan prestasi seperti biasa apabila berjaya mengekang serangan Pedro Acosta untuk menduduki tempat ketiga di belakang adik-beradik Marquez dalam perlumbaan utama.

“Saya rasa ini adalah ujian paling positif saya musim ini. Ia penting selepas perlumbaan semalam (Ahad lalu) di mana saya mula memahami dengan lebih baik dan membina keyakinan pusingan demi pusingan.

“Hari ini (semalam) saya bermula dengan gembira dan dapat menguji beberapa komponen. Contohnya, di Jerez sebelum ini saya langsung tidak dapat memahami apa-apa, jadi saya sangat gembira hari ini.

“Pada sesi pagi dan petang, saya berjaya memperbaiki masa pusingan saya dalam pecutan terakhir dengan tayar, jadi ia penting untuk mendapat keyakinan ini dan penting juga untuk memperbaiki apa yang saya pelajari semalam (Ahad lalu),” katanya.

Dengan GP25 kini lebih sesuai dengan gayanya, Bagnaia turut bersama rakan sepasukan, Marc Marquez dan pelumba VR46, Fabio di Giannantonio memberikan maklum balas positif mengenai jentera itu. – AGENSI