LONDON: Pelumba Mercedes, George Russell memberi bayangan bahawa dia akan kekal bersama pasukannya itu bagi menghadapi saingan Formula Satu (F1) pada musim hadapan.
Pemandu F1 paling berprofil tinggi itu masih belum mempunyai kontrak untuk musim 2026 dan belum menandatangani perjanjian baharu dengan Mercedes walaupun memulakan saingan 2025 dengan cemerlang.
Pelumba dari Britain itu kini berada di tangga keempat dalam kejuaraan, hanya di belakang dua pelumba McLaren dan Max Verstappen dari Red Bull.
Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff telah memberitahu bahawa kontrak baharu Russell akan dimeterai, malah akan terus menepis spekulasi tentang usaha menarik Verstappen menyertai Silver Arrows.
Namun selagi kontrak belum ditandatangani, khabar angin mengenai masa depan Russell tidak akan reda, dengan laporan terbaru The Times mendakwa Aston Martin berminat untuk mendapatkannya.
Bercakap dalam satu temubual bersama Motorsport-Total, Russell dilihat secara tidak sengaja memberitahu bahawa dia akan kekal bersama Mercedes pada tahun depan.
“Ini tahun keempat saya di Mercedes, tahun depan akan menjadi tahun kelima saya,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kepastiannya itu, Russell menjawab;’Tidak, itu belum pasti. Tiada apa yang pasti.
“Tetapi jika saya kekal bersama Mercedes, tahun depan akan menjadi tahun kelima saya bersama pasukan ini. Tiada siapa tahu bila masa mereka akan tiba. Anda hanya perlu terus beraksi dengan konsisten, terus menyampaikan prestasi.
“Dan, apa yang akan berlaku selepas itu hanya masa yang akan menentukan,” katanya. – AGENSI