Pengambilalihan Yinson berpotensi jadi urus niaga terbesar tahun ini

Perniagaan

PETALING JAYA: Saham Yinson Holdings Berhad terus mencatat peningkatan dalam dagangan awal pagi semalam susulan laporan mengenai kemungkinan syarikat itu diambil alih oleh firma pelaburan antarabangsa, sekali gus menarik minat berterusan dalam kalangan pelabur.

Saham syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu, naik dua sen kepada RM2.36 dengan jumlah dagangan sebanyak 10.14 juta unit setakat pukul 10.52 pagi, namun keseluruhannya, prestasi saham Yinson susut kira-kira sembilan peratus sejak awal tahun ini.

Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber, firma pelaburan berpangkalan di New York, Stonepeak Partners dilaporkan sedang mengadakan rundingan eksklusif bagi pengambilalihan Yinson yang dianggarkan bernilai sehingga RM9 bilion (AS$2.1 bilion).

Katanya, sekiranya dimuktamadkan, pengambilalihan itu berpotensi menjadi antara urus niaga terbesar di Malaysia tahun ini.

Sementara itu, CIMB Securities berkata, jika laporan berkenaan terbukti benar, ia boleh membawa kepada tawaran penswastaan bagi baki saham Yinson yang belum dimiliki oleh pihak berkepentingan.

Menurutnya, pasaran memberikan reaksi positif terhadap laporan tersebut apabila harga saham Yinson melonjak 13.8 peratus pada 6 Jun lalu, iaitu peningkatan harian tertinggi sejak Jun 2019.

“Kenaikan itu turut mengecilkan kerugian setakat tahun ini daripada 33.7 peratus kepada sekitar 11.4 peratus dan meningkatkan modal pasaran syarikat kepada kira-kira RM6.5 bilion.

“Pada pandangan kami, perjanjian eksklusif ini menunjukkan rundingan telah memasuki peringkat akhir dengan keluarga Lim, pengasas Yinson, memiliki pegangan sebanyak 26.6 peratus dalam syarikat,” katanya.

CIMB Securities berkata, pengambilalihan berkenaan dapat mengukuhkan lagi kedudukan Stonepeak dalam sektor infrastruktur tenaga Asia Pasifik memandangkan Yinson telah membina asas operasi yang kukuh dan berkembang pesat di rantau ini.

CIMB turut menjangkakan penilaian Yinson sekitar 9.5 kali nisbah harga terhadap pendapatan (P/E) bagi tahun kewangan 2024, berdasarkan modal pasaran RM9 bilion.

Nilai ini lebih tinggi berbanding purata P/E 8.2 kali bagi syarikat FPSO utama seperti SBM Offshore dan Modec yang kini diniagakan pada kadar P/E 4.8 dan 11.6 kali.

“Penilaian ini dilihat wajar memandangkan Yinson memiliki baki projek kukuh berjumlah AS$20.5 bilion (RM86.84 bilion) serta portfolio aktif melibatkan lapan kontrak FPSO.

“Kedudukan Yinson yang semakin berkembang di pasaran negara membangun turut menyokong penilaian premium ini dan meletakkan syarikat di landasan pertumbuhan jangka panjang.

“Malah, Stonepeak dijangka turut mengambil kira nilai strategik daripada pengembangan kontrak FPSO oleh Yinson, terutamanya selepas syarikat itu mengambil langkah memperkukuh kedudukan kewangannya.

“Ia termasuk memperoleh pembiayaan AS$1 bilion (RM4.24 bilion) bagi unit FPSO pada Januari 2025 daripada konsortium pelabur institusi; serta penglibatan dalam segmen peralihan tenaga seperti projek tenaga solar dan penyimpanan bateri,” ujarnya.

CIMB mengekalkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028, saranan ‘beli’ dan harga sasaran berdasarkan penilaian jumlah bahagian sebanyak RM2.93.-UTUSAN