5 pemain warisan Harimau Malaya dapat kelulusan FIFA

Sukan

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan kelima-lima pemain warisan baharu skuad Harimau Malaya telah mendapat kelulusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan boleh beraksi menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Keputusan itu menyaksikan Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado bakal membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski pada perlawanan kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 Arab Saudi itu.

Perkhabaran itu, sekali gus menafikan segala khabar angin yang menyatakan terdapat pemain warisan baharu Harimau Malaya tidak mendapat kelulusan FIFA untuk beraksi malam ini, selain mempersoalkan asal usul pemain terbabit.

Sehingga pukul 10.30 pagi tadi, sebanyak 45,629 tiket telah terjual bagi perlawanan Malaysia menentang Vietnam dan jumlah itu dijangka bertambah menjelang sepak mula pada pukul 9 malam ini.- UTUSAN