Daikin tawar pelan pemilikan penyaman udara serendah RM52 sebulan

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Daikin Malaysia Sales & Service Sdn. Bhd. (Daikin) memperkenalkan Pelan Pemilikan Mudah, POAS yang membolehkan pengguna memiliki penyaman udara berkualiti tinggi dengan bayaran bulanan serendah RM52 dan RM99 sebulan.

Inisiatif ini turut merangkumi perkhidmatan penyelenggaraan berkala selama tempoh ansuran iaitu 24 bulan, 36 bulan dan 60 bulan bagi memastikan prestasi produk kekal optimum sepanjang tempoh penggunaan.

Pengarah Urusannya, Lawrence Song berkata, pelan ini ditawarkan kepada semua warganegara Malaysia menerusi dua pilihan iaitu Basic Plan untuk model standard inverter dan Smartkool Plan bagi model premium inverter.

“Pelanggan boleh memilih untuk melanggan pelan ini menggunakan kad kredit di e-store rasmi Daikin atau tanpa kad kredit menerusi permohonan pembiayaan, hanya dengan mengemukakan borang permohonan, salinan kad pengenalan dan slip gaji.

“Pengenalan POAS merupakan satu langkah besar bagi syarikat untuk menawarkan ketenangan fikiran, keselesaan optimum, kemampuan, dan kepuasan buat pelanggan.

“Dengan POAS, anda kini boleh menikmati pilihan pembayaran yang fleksibel dan berpatutan, sama ada melalui ansuran bulanan kad kredit atau pelan pembiayaan yang sepadan dengan bajet masing-masing,” katanya pada Majlis Pelancaran POAS, di sini.

Sementara itu, Pengurus Kanan, E-dagang Daikin, Teh Poh Heng berkata, Basic Plan yang ditawarkan pada harga serendah RM52 sebulan menyediakan model penyaman udara inverter standard yang tahan lasak serta praktikal untuk kegunaan harian.

“Model ini dilengkapi dengan mod Econo untuk penjimatan tenaga tanpa menjejaskan keselesaan, papan litar (PCB) tahan voltan tinggi antara 150V hingga 440V dan ciri Lizard Guard bagi melindungi papan inverter daripada haiwan kecil seperti cicak.

“Ia turut merangkumi alat kawalan jauh mesra pengguna serta pilihan alat kawalan berwayar, dan penapis Gin-Ion Blue yang menyingkir virus, bakteria, kulat dan bau dalam tempoh dua jam,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Smartkool Plan yang bermula dari RM99 sebulan pula menawarkan pelbagai ciri pintar dengan fokus kepada kecekapan penyejukan dan keselesaan maksimum.

“Model ini dilengkapi dengan fungsi Smart Powerful+ yang menyejukkan ruang dengan cepat melalui pengesanan kehadiran manusia dan penghalaan aliran udara dan tiga lapisan penapisan udara iaitu Gin-Ion Blue Filter.

“Ia turut hadir dengan penapis PM2.5 dan teknologi Streamer untuk menyingkirkan habuk halus, alergen serta bau tidak menyenangkan, sistem penjimatan tenaga automatik Smart Ecomax serta ciri GO Daikin yang membolehkan kawalan penyaman udara melalui aplikasi telefon pintar dari dalam atau luar rumah,” ujarnya.

Orang ramai boleh melayari estore.daikin.com.my, memilih pelan dan pembiayaan yang diinginkan dan lengkapkan borang permohonan.

Baru-baru ini, Daikin Malaysia memenangi dua anugerah utama di Anugerah Jenama Dipercayai Reader’s Digest 2025, yang mana kami beroleh anugerah platinum bagi kategori Penggunaan-Udara untuk Malaysia, dan juga Asia.

Pencapaian ini amat bermakna buat Daikin kerana ia berdasarkan undian para pengguna yang telah menggunakan produk mereka serta meyakini jenama dan perkhidmatan yang ditawarkan. – UTUSAN