PETALING JAYA: Honda Malaysia menarik balik sebanyak 87,490 unit kenderaan keluarannya di seluruh negara bagi menggantikan pam bahan api sebagai langkah keselamatan dan pencegahan.
Honda dalam satu kenyataan memberitahu, langkah itu melibatkan dua jenis pam bahan api yang berpotensi menyebabkan kenderaan gagal dihidupkan atau enjin terhenti secara tiba-tiba ketika memandu.
Sebanyak 84,073 unit model termasuk Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V, CR-V dan Odyssey terlibat dalam penarikan semula membabitkan impeler pam bahan api yang berisiko mengembang selepas terendam lama dalam bahan api.
Sementara itu, 3,417 unit model Civic dan CR-V pula terlibat dalam penarikan semula berasingan melibatkan pam bahan api tekanan tinggi yang berisiko retak akibat penggunaan berpanjangan, sekali gus boleh menyebabkan kebocoran atau bau bahan api ketika kenderaan bergerak atau melahu.
“Honda Malaysia memohon maaf atas segala kesulitan yang mungkin dihadapi pelanggan dan ingin menegaskan bahawa semua model yang sedang dikeluarkan serta dijual ketika ini tidak terjejas dalam penarikan semula ini.
“Keselamatan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan kami dan langkah ini diambil secara proaktif termasuk melibatkan kenderaan yang telah tamat tempoh waranti.
“Semua penggantian pam bahan api dan pam tekanan tinggi akan dilakukan secara percuma dan kos berkaitan akan ditanggung sepenuhnya oleh Honda Malaysia. Proses penggantian akan dilaksanakan secara berperingkat bergantung kepada ketersediaan alat ganti,” katanya.
Setakat ini, tiada sebarang kes kemalangan atau kecederaan dilaporkan di Malaysia akibat isu berkenaan.- UTUSAN