Man. United lepas 10 pemain secara percuma

Sukan

LONDON: Manchester United mengambil langkah drastik melepaskan 10 pemain secara percuma selepas mereka mengharungi kempen terburuk dalam sejarah pada musim ini.

Antara nama besar yang dilepaskan ialah Christian Eriksen, Victor Lindelof dan Jonny Evans yang dilihat gagal memberi impak besar kepada skuad kendalian Ruben Amorim.

Evans pernah memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) serta menjulang trofi Liga Juara-Juara semasa tempoh pertamanya di Old Trafford.

Eriksen pula menjaringkan gol dalam penampilan terakhirnya apabila menyempurnakan sepakan penalti ketika menang 2-0 ke atas Aston Villa pada hari terakhir EPL.

Turut akan meninggalkan kelab adalah kapten Sweden, Lindelof yang bergelut dengan prestasi tidak konsisten sepanjang tujuh musim bersama United selepas berpindah dari Benfica dengan nilai 40 juta pound (RM229 juta) pada tahun 2017.

Penjaga gol simpanan, Tom Heaton juga termasuk dalam senarai pemain yang akan dilepaskan secara percuma, namun dia kini sedang berunding dengan pengurusan kelab mengenai kemungkinan sambungan kontrak baharu.

Senarai pemergian turut melibatkan beberapa pemain akademi iaitu Hubert Graczyk, Jack Kingdon, Sam Murray, Tom Myles, James Nolan dan Tom Wooster.

“Akademi kami berbangga dengan semua pemain muda yang akan meninggalkan kelab dari pelbagai peringkat umur.

“Mereka akan dibantu untuk mendapatkan kontrak baharu bersama kelab lain, disediakan dengan program penjagaan selepas karier dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga Manchester United seumur hidup,” kata United dalam satu kenyataan.

Pemergian besar-besaran itu berlaku selepas United merekodkan pencapaian paling buruk dalam sejarah EPL mereka musim lalu.

Skuad kendalian Amorim menamatkan saingan EPL di tangga ke-15 dan menutup kempen yang mengecewakan dengan kekalahan 1-0 di tangan Tottenham Hotspur pada final Liga Europa di Bilbao.

Dengan melepaskan pemain berkenaan, United kini memburu beberapa pemain baharu bagi menguatkan pasukan pada musim depan.

Setakat ini, United telah menandatangani Matheus Cunha, ia menjadi pembelian pertama Amorim dan dijangka beberapa pemain lagi masih dalam rundingan antaranya Bryan Mbeumo serta Antoine Semenyo.- AGENSI

KAPSYEN: Christian Eriksen