PETALING JAYA: Eksport minyak sawit Malaysia meningkat 25.6 peratus kepada 1.39 juta tan pada Mei lalu berbanding 1.10 juta tan pada bulan sebelumnya.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata, negara menghasilkan sebanyak 1.77 juta tan minyak sawit mentah (MSM) pada Mei, meningkat 5.1 peratus berbanding 1.69 juta tan yang direkodkan pada April.
“Pengeluaran biji sawit naik 2.8 peratus kepada 420,658 tan berbanding 409,097 tan pada April.
“Hasil minyak biji sawit mentah turut meningkat 19.2 peratus kepada 210,512 tan daripada 176,644 tan, manakala pengeluaran sisa biji sawit naik 20.1 peratus kepada 231,568 tan berbanding 192,857 tan sebelumnya,” katanya dalam laporan prestasi industrinya.
Menurut MPOB, stok MSM naik 4.8 peratus kepada 1.10 juta tan berbanding 1.05 juta tan pada April.
“Stok minyak sawit yang telah diproses juga bertambah 9.0 peratus kepada 888,343 tan daripada 814,673 tan.
“Secara keseluruhan, jumlah stok minyak sawit negara meningkat kepada 1.99 juta tan pada Mei berbanding 1.87 juta tan bulan sebelumnya,” katanya.
Mengulas lanjut, MPOB berkata, eksport minyak biji sawit meningkat 20.7 peratus kepada 119,182 tan berbanding 98,743 tan pada April.
“Eksport sisa biji sawit turut naik 37.3 peratus kepada 193,328 tan berbanding 140,833 tan, manakala eksport oleokimia meningkat 6.0 peratus kepada 232,683 tan daripada 219,520 tan.
“Bagi biodiesel, eksport melonjak 39.3 peratus kepada 32,848 tan berbanding 23,589 tan sebelumnya,” ujarnya.
Tiada import MSM direkodkan pada Mei, manakala import minyak biji sawit susut 43.5 peratus kepada 8,074 tan berbanding 14,287 tan pada April.- UTUSAN