Satu penghormatan Asia Warriors pilih Selangor- Kinoshi

Sukan

SHAH ALAM: Pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi memaklumkan bahawa dia telah dihubungi legenda bola sepak Jepun, Keisuke Honda untuk mengadakan perlawanan antara Gergasi Merah dengan Asia Warriors FC.

Jelasnya, dia kemudiannya membawa perkara itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon untuk perbincangan sebelum membuat keputusan menerima tawaran berkenaan.

Pengendali dari Jepun itu, turut menyifatkan ia satu penghormatan besar apabila Selangor dipilih untuk berdepan pasukan yang bakal dibarisi pemain legenda di rantau Asia.

Perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 26 Julai depan.

“Honda menghubungi saya, (dia katakan) ‘saya mahu berlawanan dengan kamu’. Dia mencipta satu pasukan legenda dan mahu menentang salah satu pasukan terbaik di Malaysia.

“Jadi saya amat menghargai apabila Selangor dipilih untuk mewakili Malaysia. Saya kongsikan kepada Johan dan memutuskan untuk menerima tawaran bagi perlawanan itu,” katanya pada sidang media, semalam.

Perlawanan itu bakal menjadi aksi ‘pemanas badan’ buat Selangor yang sedang membuat persiapan bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim depan yang dijadualkan bermula pada Ogos.

Sementara itu, Honda menjelaskan keputusan memilih Selangor sebagai lawan kerana mahu mendapatkan cabaran sukar dan membentuk perlawanan yang menarik buat penonton.

Dia yang juga pengasas Asia Warriors FC berterima kasih kepada Selangor FC kerana menerima tawaran daripada pihaknya untuk mengadakan perlawanan pertunjukkan itu.

“Kami amat teruja untuk berdepan pasukan Selangor iaitu salah satu pasukan kuat di Malaysia. Walaupun ia hanya aksi pertunjukkan, tapi kami akan memberikan perlawanan yang terbaik buat penonton,” kata Honda.

Selain Honda, skuad Asia Warriors bakal dibarisi beberapa bekas pemain kebangsaan negara lain termasuk Indra Putra Mahayuddin dan Razman Roslan (Malaysia), Anton Del Rosario (Filipina), Baihakki Khaizan (Singapura) serta ramai lagi.-UTUSAN