PETALING JAYA: Peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk beberapa kategori yang berkuat kuasa pada 1 Julai ini menunjukkan kerajaan komited untuk meneruskan konsolidasi fiskal secara berhemat.
Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkara ini bakal memastikan disiplin kewangan kerajaan terjamin dan pada masa yang sama memastikan perubahan masih lagi terkawal dengan adanya pengecualian.
“Langkah ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kecekapan kutipan hasil negara, malah juga menandakan usaha serius kerajaan dalam memastikan kedudukan kewangan negara kekal berdaya tahan dan mampan dalam jangka masa panjang.
“Pelaksanaan ini dilakukan secara berhati-hati dengan mengambil kira keseimbangan antara keperluan meningkatkan hasil negara dan keperluan melindungi kesejahteraan rakyat, terutamanya melalui pelbagai bentuk pengecualian dan pengecualian bersasar yang diperkenalkan untuk memastikan impaknya terhadap kos sara hidup kekal terkawal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, SST yang dikenakan pada sektor tambahan baik untuk negara kerana akan meningkatkan hasil kerajaan.
“Bagaimanapun, dalam konteks rakyat ia tidak baik kerana ia akan meningkatkan kos rakyat.
“Saya merasakan mungkin lebih baik menaikkan levi penerbangan dan levi pekerja asing kerana ia kurang memberi kesan kepada keselyruhan rakyat.
“Mungkin hasilnya (peningkatan hasil cukai kerajaan) akan sama berbanding meluaskan skop SST,” katanya.
Mohd. Rizal turut berharap kerajaan memberi makluman kepada rakyat apa yang rakyat akan dapat hasil kenaikan hasil kerajaan melalui pelluasan SST ini.
“Kebelakangan ini sudah banyak subsidi ditarik balik seperti subsidi diesel dan gas untuk peniaga,” katanya.
Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah pula berkata, SST bukan satu sistem cukai yang terbaik berbanding dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
“Kebanyakan pakar ekonomi dan persatuan perniagaan memohon GST dilaksanakan semula di Malaysia.
“Kelemahan SST boleh diatasi oleh GST. Bagaimanapun, perlu ada kajian mendalam sebelum GST dilaksanakan semula,” katanya.
Jelas beliau, terdapat pelbagai barangan mewah yang perlu dikenakan SST.
“Sebagai contoh kereta mewah import, barang kemas, barangan dapur.Bagaimanapun, barangan yang dikilangkan di Malaysia tidak dikenakan SST dan rakyat biasa juga tidak dibebankan dengan cukai tambahan,” katanya.
Menurut Kementerian Kewangan, barangan pilihan tertentu seperti ‘king crab’, salmon, kod, cendawan truffle, buah-buahan import, essential oil, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak 5.0 peratus berkuat kuasa 1 Julai 2025.
Ia susulan pelaksanaan semakan dan peluasan skop SST yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.
Beberapa barangan pilihan premium dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik.-UTUSAN