Alcaraz, Sinner cipta magis di Roland Garros

Sukan

PARIS: Carlos Alcaraz dan Jannik Sinner menampilkan aksi luar biasa dalam final Terbuka Perancis yang dianggap antara paling epik dalam sejarah Grand Slam.

Pertarungan selama lima jam 29 minit itu menyaksikan Alcaraz bangkit menyelamatkan tiga mata kejuaraan sebelum merangkul gelaran Slam kelima dalam lima final.

“Perlawanan ini paling mendebarkan pernah saya lalui, tiada tandingan.

“Perlawanan ini lengkap. Ada drama, ada emosi, dan ada pukulan gila yang tak masuk akal,” kata Alcaraz.

Sinner, yang memberi tentangan hebat sepanjang aksi, menyifatkan ianya sebagai bukti kebangkitan generasi baharu yang menyegarkan sukan tenis.

“Kami buktikan bahawa generasi ini juga mampu berikan pertarungan bertaraf legenda,” kata Sinner.

Dalam pada itu, legenda tenis Roger Federer dan Rafael Nadal turut mengiktiraf kehebatan kedua-dua pemain itu yang dikatakan bakal mengisi kekosongan ditinggalkan ‘Big Three’.

“Tiga pemenang hari ini. Alcaraz, Sinner dan keindahan sukan tenis itu sendiri,” tulis Federer di media sosialnya. – AGENSI