Harga sewa rumah stabil, kurangkan tekanan kos sara hidup

Perniagaan

PETALING JAYA: Purata sewa rumah di Malaysia menurun kepada RM2,020 pada suku pertama tahun ini berbanding RM2,052 pada suku keempat tahun lalu, sekali gus mencatatkan penurunan pertama dalam tempoh setahun.

Penstabilan kadar sewa rumah menurut laporan terbaharu Juwai IQI itu membawa berita baik kepada penyewa dan mampu milik perumahan di Malaysia.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, tekanan kos sara hidup mungkin semakin berkurangan bagi kebanyakan isi rumah.

Katanya, bagi segmen mewah yang mewakili 10 peratus teratas pasaran sewa, purata sewa pada suku pertama ialah RM5,300, hampir tidak berubah daripada suku sebelumnya.

“Walaupun terdapat penurunan suku tahunan, sewa masih kekal 5.2 peratus lebih tinggi berbanding suku pertama 2024,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ansari, walaupun sewa nasional menurun sedikit pada suku pertama, Kuala Lumpur menyaksikan pertumbuhan suku tahunan dan tahunan.

“Purata sewa di Kuala Lumpur meningkat 1.9 peratus suku ke suku kepada RM2,901, jauh melebihi purata nasional RM2,020.

“Kuala Lumpur juga mendahului dalam pertumbuhan tahun ke tahun dengan sewa meningkat 6.0 peratus, mengatasi kenaikan nasional 5.2 peratus.

“Ini merupakan pemulihan mendadak daripada dua suku sebelumnya yang mencatatkan prestasi lemah. Kuala Lumpur kekal sebagai pasaran sewa terkuat di negara ini.

“Sebaliknya, sewa di Selangor menurun 0.9 peratus pada suku pertama,” katanya.

Sementara itu, Indeks Sewa Rumah yang menjejaki perubahan jangka panjang harga sewa turut mencerminkan perbezaan.

Kuala Lumpur (82.1) dan Selangor (88.7) kedua-duanya kekal jauh melebihi nilai indeks nasional 75.1, menunjukkan walaupun terdapat turun naik jangka pendek, sewa di negeri-negeri ini berkembang lebih pantas dari masa ke masa.

Ansari berkata, data menunjukkan pasaran sewa berkelakuan seperti penunjuk awal kekuatan ekonomi serantau.

“Pertumbuhan Kuala Lumpur mencerminkan peningkatan penciptaan pekerjaan dan pelaburan asing. Prestasi negeri ini menunjukkan bagaimana hartanah mencerminkan momentum ekonomi yang lebih luas.

“Memandangkan sewa mewah berdaya tahan dan 10 peratus teratas menunjukkan pergerakan minimum, permintaan untuk unit premium nampaknya kekal kukuh,” katanya.- UTUSAN