PETALING JAYA: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan bersedia untuk mempertahankan jawatan yang disandang menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu di Kuala Lumpur pada 29 Jun ini.
Bagaimanapun kata Mohd. Sumali, kesediaannya untuk mempertahankan jawatan Presiden bergantung kepada sokongan yang diterima melalui pencalonan rasmi selain menyifatkan pencalonan lain sebagai amalan demokrasi yang sihat.
“Saya di pihak PSM memang sentiasa terima dengan hati terbuka dan kita mengamalkan demokrasi, sesiapa sahaja boleh bertanding sekiranya menerima pencalonan rasmi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mohd Sumali, pemilihan saf pimpinan tertinggi badan itu termasuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden adalah berdasarkan pencalonan daripada persatuan negeri yang bernaung di bawah PSM.
“Saya bergantung kepada pencalonan daripada negeri-negeri sebab sistem pemilihan PSM ini beri peluang ahli gabungan kita dari negeri-negeri untuk mencalonkan jawatan yang dipertandingkan dan saya masih menunggu sehingga tarikh tutup pencalonan pada 22 Jun ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, Sumali juga menyatakan keyakinan bahawa sesiapa sahaja yang bakal menerajui PSM selepas ini mampu membawa persatuan ke tahap yang lebih tinggi demi kemajuan sukan sepak takraw tanah air.
“Kalau bukan saya sekalipun, perkara baik yang sedang berjalan sekarang kena diteruskan dan dikekalkan. Mungkin Presiden baharu boleh buat lebih baik daripada saya,” ujar Sumali.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Sepaktakraw Perlis (PSTPs), Syed Azmir Syed Ahmad ada menyuarakan kesediaannya untuk menawarkan diri bertanding bagi jawatan nombor satu badan induk itu.-UTUSAN