PETALING JAYA: Kerajaan disaran menaikkan ambang perolehan tahunan bagi kelayakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) daripada RM500,000 kepada sekurang-kurangnya RM2 juta bagi memastikan hanya perniagaan sederhana dan besar tertakluk kepada peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan kesan terhadap PMKS apabila peluasan SST mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.
Katanya, semua perusahaan mikro dan kecil seperti yang ditakrifkan oleh SME Corp. wajar dikecualikan sepenuhnya atau diberikan kelonggaran yang munasabah.
“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga perlu mengeluarkan garis panduan khusus mengikut sektor bagi membantu PMKS memahami kewajipan cukai mereka di bawah pelaksanaan SST baharu.
“Tanpa panduan yang jelas, banyak PMKS berisiko melakukan ketidakpatuhan secara tidak sengaja walaupun kerajaan menangguhkan penguatkuasaan penuh sehingga akhir 2025,” katanya dalam kenyataan semalam.
Jelasnya, JKDM perlu menjelaskan sama ada syarikat dibenarkan mengenakan SST mengikut tarikh invois dan bukannya berdasarkan kutipan bayaran, memandangkan ramai peniaga telah mengeluarkan invois lebih awal.
“Ketidakpastian ini boleh menimbulkan kekeliruan mengenai liabiliti cukai dalam tempoh peralihan,” katanya.
William berkata, meskipun kerajaan berhasrat memperkukuh hasil negara menerusi peluasan SST, masa dan kaedah pelaksanaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan PMKS yang kini bergelut dengan pelbagai cabaran.
“Antaranya, peningkatan kos input, kelembapan permintaan luar, penyusutan perbelanjaan pengguna serta ketidaktentuan pasaran global termasuk tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) yang dijangka berkuat kuasa semula pada 9 Julai ini.
“Dalam situasi ini, pelaksanaan SST tanpa pengecualian yang mencukupi hanya akan meningkatkan beban kos kepada perniagaan.
“Kesan ini bukan sahaja melibatkan kos bahan mentah, malah turut merangkumi kos sewa dan perkhidmatan antara perniagaan (B2B) yang kini turut tertakluk di bawah SST.
“Akhirnya, peningkatan kos ini dijangka diserap oleh pengguna dan menambah tekanan kepada kos sara hidup,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, Samenta menyokong pembangunan sistem percukaian yang adil, progresif dan telus, namun pelaksanaannya perlu dilakukan secara berperingkat serta melibatkan rundingan terbuka bersama semua pihak berkepentingan.- UTUSAN