ALCANIZ: Pelumba Ducati, Marc Marquez berkata, pasukannya mahu dia menumpukan hari ujiannya di MotoGP Aragon kepada pakej aerodinamik baharu berikutan ia tidak boleh ditunggu pada ujian seterusnya.
Ducati meninggalkan pakej aero asal mereka bagi musim 2025 selepas ujian pramusim dan kembali menggunakan spesifikasi 2024 untuk membolehkan persiapan lebih baik pada perlumbaan pembukaan serta memberi ruang membangunkan konsep baharu itu.
Dalam ujian selepas Grand Prix (GP) Aragon pada Isnin lalu, Marc Marquez menghabiskan harinya menilai aero baharu tersebut dan mencatat masa ketiga terpantas dengan 1 minit 45.749 saat (s).
Pendahulu kejuaraan itu tidak mendedahkan butiran mengenai aero baharu tersebut, tetapi memberikan reaksi positif terhadapnya.
“Pada asasnya, kami menumpukan sebahagian besar hari kepada pakej aero baharu itu, kerana ujian seterusnya adalah di Misano dan masa itu terlalu lewat untuk mengesahkan pakej aero baharu.
“Ada beberapa perkara positif. Kami mencatat masa pusingan dengan pakej aero itu, tetapi dengan pakej standard pun masa sangat hampir.
“Sekarang kami perlu faham kerana terdapat beberapa kombinasi yang berbeza. Sekarang kami perlu tahu yang mana satu paling sesuai,” kata Marquez.
Pada GP Aragon, Ahad lalu, rakan sepasukan Marquez, Francesco Bagnaia berkata, dia semakin serasi dengan jenteranya selepas menukar kepada cakera brek bersaiz berbeza.
Ducati menyatakan itu adalah idea yang mereka tidak pernah terfikir sebelum ini, dan Bagnaia menjelaskan bahawa dia boleh memperlahankan motosikal dengan lebih baik menggunakan tekanan brek yang lebih rendah. – AGENSI