PETALING JAYA: Sektor perladangan dijangka berdepan cabaran dalam tempoh akan datang kerana tiada faktor baharu yang boleh merangsang pertumbuhan, menurut Phillip Capital.
Firma penyelidikan itu menjangkakan harga purata minyak sawit mentah (MSM) diunjurkan sekitar RM4,100 setiap tan bagi tahun 2025 dan RM4,000 setiap tan pada 2026.
Phillip Capital memberikan penarafan ‘neutral’ kepada sektor tersebut, dengan anggaran keuntungan meningkat 9.2 peratus pada 2025.
“Namun, keuntungan dijangka menyusut sebanyak 3.4 peratus pada 2026 akibat penurunan harga sawit pada separuh kedua 2025 serta cabaran berterusan dalam struktur industri,’ katanya dalam satu laporan.
Bagi syarikat bermodal besar, Phillip Capital memilih SD Guthrie Bhd. sebagai pilihan utama dengan harga sasaran RM5.21.
Hai ini kerana syarikat berkenaan disokong oleh pendapatan stabil dari ladang (bahagian huluan), penglibatan dalam segmen bukan makanan serta potensi menjana keuntungan daripada penjualan aset.
“Struktur SD Guthrie yang menyeluruh dan usaha membangunkan semula ladang-ladang lama memberi kelebihan untuk menghadapi turun naik harga MSM dan pada masa sama membuka nilai tanah syarikat secara berperingkat,” katanya.
Phillip Capital memilih Sarawak Plantations Bhd bagi syarikat bermodal kecil dengan sasaran harga RM2.88.
la dibuat berdasarkan keadaan ladangnya yang masih muda, usaha penanaman semula yang berterusan dan pengeluaran yang semakin baik.
“Syarikat ini juga mempunyai kewangan yang kukuh serta menawarkan pulangan dividen menarik sekitar 4 peratus, disokong oleh aliran tunai yang stabil.
“Nilai perniagaannya turut berpotensi kerana kos penilaian per hektar bawah RM20,000, lebih rendah berbanding pesaing lain,” katanya.
Walaupun harga MSM dijangka kekal rendah dan perdagangan global masih tidak menentu, Phillip Capital melihat beberapa saham perladangan semakin menarik, terutama jika harga stabil dan keuntungan mula pulih pada separuh kedua 2025.
Antara faktor yang boleh menggerakkan sektor itu termasuk kekurangan bekalan minyak makan dunia, sokongan terhadap penggunaan biodiesel dan minat semula pelabur asing terhadap saham berpotensi tinggi.
“Kami berpendapat, risiko dan ganjaran dalam sektor ini kini lebih seimbang.Pelabur boleh mempertimbangkan syarikat berfokuskan huluan yang memiliki ladang muda, hasil tandan buah segar yang semakin baik dan kos operasi yang cekap,” katanya.
Phillip Capital berkata, bagi pelabur yang mahukan kestabilan, syarikat yang menjalankan operasi menyeluruh dengan pendapatan kuat dan dividen yang konsisten patut diberi perhatian.
Secara keseluruhan, Phillip Capital melihat penilaian sektor tersebut adalah munasabah, tetapi cabaran akan membataskan kenaikan dalam jangka sederhana. – UTUSAN