LONDON: Bekas bos Ferrari, Mattia Binotto berpendapat bekas majikannya itu telah menandatangani Lewis Hamilton terlalu lewat dan percaya juara dunia tujuh kali itu kini berada di penghujung kariernya.
Hamilton menyertai Ferrari dari Mercedes dalam perpindahan besar-besaran, sedang bergelut menyesuaikan diri dengan kehidupan di Ferrari dan kini jauh ketinggalan berbanding rakan sepasukan, Charles Leclerc.
Pelumba dari Britain itu menamatkan saingan di tempat keenam (selepas penalti Max Verstappen) di Grand Prix (GP) Sepanyol dan kelihatan amat kecewa selepas perlumbaan tersebut apabila menyifatkannya sebagai pencapaian paling teruk dalam kariernya.
Selain meraih petak utama dan kemenangan dalam perlumbaan pecut di China, musim pertama Hamilton bersama Ferrari setakat ini sukar apabila dia masih belum meraih sebarang podium dalam perlumbaan Utama.
Berbeza dengan Leclerc apabila berjaya menaiki podium sebanyak tiga kali dalam sembilan perlumbaan pertama musim ini.
Binotto, kini merupakan bos pasukan Sauber/Audi, sebelum ini pernah mempersoalkan keputusan Ferrari menandatangani Hamilton dan kini mengulangi pendiriannya itu.
“Hamilton berada pada usia tertentu. Ferrari mendapatkannya ketika dia berada di penghujung kariernya. Idealnya, mereka sepatutnya mengambilnya beberapa tahun lebih awal,” katanya.
Bagaimanapun, Binotto percaya Ferrari mampu mengubah nasib mereka dalam kempen yang setakat ini sangat mengecewakan.
“Jelas sekali bahawa prestasi di litar dan keputusan semasa tidak seperti yang mereka harapkan tetapi saya kenal setiap ahli pasukan itu dengan baik, dan saya tahu mereka berbakat, kuat, dan berkemampuan.
“Mereka akan dapat menambah baik kereta dan mencapai kejayaan pada masa depan dan saya percaya Ferrari masih boleh meraih kejayaan musim ini,” katanya. – AGENSI