Johor rekod RM30.1 bilion pelaburan pada suku pertama, tertinggi di negara ini

Perniagaan

JOHOR BAHRU: Johor merekodkan prestasi pelaburan tertinggi di negara ini bagi suku pertama tahun ini dengan jumlah yang diluluskan sebanyak RM30.1 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, pencapaian itu membuktikan strategi pelaburan inklusif dan berpandangan jauh digerakkan kerajaan Persekutuan dan negeri berhasil.

“Majoriti pelaburan ini tertumpu dalam sektor perkhidmatan berimpak tinggi seperti logistik, pusat data, kemudahan perniagaan moden dan lain-lain yang sejajar dengan hala tuju Johor menjadi pusat ekonomi digital dan perindustrian bernilai tambah tinggi.

“Kejayaan ini ekoran pelaksanaan beberapa inisiatif termasuk penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFCJ), infrastruktur asas lengkap, dasar pelaburan konsisten serta inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ting Han berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan ekosistem pelaburan bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

“Pada masa sama, kita akan pastikan pembangunan seimbang antara kawasan serta bersifat inklusif kepada semua golongan dan pelbagai latar belakang.

“Johor akan terus mara sebagai kuasa ekonomi baharu rantau ini selari dengan visi menjadi negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya.

Beliau turut memberitahu, Johor berjaya menarik pelaburan terkumpul berjumlah RM162.2 bilion daripada 1,761 projek pelaburan sejak 2022 hingga 2024 dan penyediaan sebanyak 53,764 pekerjaan baharu.-UTUSAN