KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak tetap meletakkan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028) sebagai keutamaan dalam membimbing beregu wanita negara.
Rosman yang kembali menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui tidak terganggu dengan spekulasi luar dan komited membina hala tuju jangka panjang skuad beregu wanita.
Ketika ini, isu kontrak anak buahnya, Pearly Tan-M. Thinaah bersama BAM menjadi topik hangat kerana beregu No.3 dunia itu masih belum memperbaharui kontrak bersama BAM sejak ianya tamat pada Disember lalu.
Pearly-Thinaah menunjukkan peningkatan ketara dibawah bimbingan Rosman apabila muncul juara Terbuka Thailand selain mara ke separuh akhir Masters Malaysia, suku akhir Terbuka Singapura dan naib juara Terbuka Indonesia.
“Ya, sasaran utama masih LA2028 dan sebab itu BAM ambil saya semula. Saya kekal komited kepada matlamat itu.
“Menjadi pemain utama bukan sesuatu yang mudah. Banyak faktor boleh menjejaskan prestasi. Tugas saya ialah bantu mereka urus semua latihan, kehidupan dan tekanan,” kata Rosman kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysi, Bukit Kiara, semalam.
Dalam pada itu, Rosman menegaskan bahawa tekanan di kejohanan bertaraf Super 500, 750 dan 1000 adalah sama kerana melibatkan penyertaan pemain elit dunia.
“Bagi saya, kejohanan Super 500, 750 dan 1000 semuanya ada tekanan yang sama.
“Semua kejohanan ini disertai pemain elit yang sama. Tak boleh kata Super 500 lebih mudah berbanding 750 atau 1000,” katanya.-UTUSAN