KUALA LUMPUR: Syarikat pemindahan wang kedua terbesar di dunia, Ria Money Transfer kini memperkenalkan sistem pengurusan gaji digital dan rangkaian perkhidmatan kewangan menyeluruh yang direka khas untuk memenuhi keperluan pekerja asing di Malaysia
Ria Wallet telah diluluskan oleh Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk pembayaran gaji digital.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ria Money Transfer, Shawn Fielder berkata, sistem Ria Wallet dilancarkan bertujuan untuk membawa lebih ramai pekerja asing yang tidak mempunyai akaun bank ke dalam ekosistem perkhidmatan kewangan.
“Objektif kami bukan sekadar menyasarkan bilangan pelanggan yang besar tetapi membawa lebih ramai pekerja asing yang tidak berbank ke dalam ekosistem Ria di mana mereka boleh menggunakan pelbagai perkhidmatan selain pemindahan wang,” katanya kepada pemberita Majlis Pelancaran Ria Wallet di sini hari ini.
Tambah Fielder, aplikasi Ria Wallet membolehkan pekerja asing mengakses perkhidmatan harian termasuk pembayaran QR, pembayaran domestik dan tambah nilai masa nyata untuk keluarga di negara asal.
Katanya, perbezaan Ria Wallet dan pengeluar e-wang yang lain di Malaysia ialah pengalaman omni yang ditawarkan kepada pelanggan.
“Banyak pengeluar e-wang lain bekerja secara digital semata-mata atau melalui cawangan fizikal sahaja.
“Tetapi Ria Wallet menawarkan pengalaman omni untuk pengguna yang tidak ditawarkan oleh pengeluar e-wang yang lain” katanya.
Mengulas lanjut, Fielder berkata, Ria Money Transfer juga mempunyai kedai fizikal di mana pelanggan boleh mendapat perkhidmatan di kaunter, menggunakan saluran digital dan juga semi-digital melalui kerjasama dengan Pos Malaysia.
Katanya lagi, apabila gaji telah dibayar ke dalam Ria Wallet, syarikat itu mempunyai rangkaian lebih 1,400 ATM Euronet di seluruh Malaysia di mana pemegang akaun e-wallet Ria boleh mengeluarkan wang tanpa sebarang caj.
Ria juga memanfaatkan rangkaian fizikal globalnya yang merangkumi 624,000 lokasi untuk memudahkan pemindahan wang dan penghantaran wang ke pelbagai negara.
“Objektif kami adalah menawarkan nilai maksimum kepada pekerja asing supaya wang hasil titik peluh mereka boleh dihantar pulang kepada keluarga atau dibelanjakan di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Asia Pasifik Ria Money Transfer, Espen Kristensen berkata, walaupun pekerja asing di Malaysia cenderung datang dari negara jiran namun Ria juga mempunyai perkhidmatan global sebenar yang boleh menghantar wang ke Chile, Fiji dan mana-mana tempat di Eropah.
“Kami mempunyai jangkauan yang luar biasa bukan sahaja untuk deposit bank dan dompet digital tetapi juga kutipan tunai untuk pelanggan.
“Malah di sesetengah negara, kami juga menawarkan perkhidmatan penghantaran ke rumah,” katanya.
Jelasnya, Ria Money Transfer merupakan syarikat pemindahan wang terbesar kedua dunia dengan pemilikan lesen di hampir 45 negara.
“Kami mempunyai rangkaian pembayaran masa nyata terbesar dan paling moden di dunia yang meliputi 98 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai isu keselamatan dan penipuan siber, Kristensen berkata, sebagai entiti terkawal yang mempunyai lesen daripada Bank Negara Malaysia (BNM), syarikat itu mematuhi semua keperluan keselamatan IT.
“Kami mematuhi 100 peratus piawaian global, bukan sekadar keperluan keselamatan IT minimum daripada BNM, tetapi juga piawaian global,” katanya.
“Aplikasi Ria Wallet dilengkapi dengan pengesahan dua faktor, pengikatan peranti dan pelbagai penyelesaian pihak ketiga untuk memastikan keselamatan dan keselamatan pelanggan,” katanya.
Ria Money Transfer berasal dari New York dan bermula sebagai perkhidmatan pemindahan wang pada tahun 1987 dan kini telah berkembang ke rangkaian 507,000 lokasi di 160 negara.-UTUSAN