Wales jadi persiapan terakhir Speedy Tigers

Sukan

SHAH ALAM: Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh mahu menjadikan aksi persahabatan menentang Wales sebagai persiapan terakhir bagi mengharungi kempen Piala Negara-Negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 15 hingga 21 Jun ini.

Sarjit yang pernah beraksi di Sukan Olimpik 1984 dan 1992 berkata, kesemua 20 pemain akan mendapat peluang turun beraksi menentang Wales di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini sebagai kesinambungan dua jelajah sebelum ini.

“Kita akan bagi peluang kepada semua 20 pemain yang akan bermain di kejohanan ini. Kita nak uji semua pemain ini sebab sebelum ini kita sudah mengharungi dua siri jelajah iaitu Jelajah Australia dan Jelajah Korea Selatan. Ini persiapan terakhir kami sebelum kejohanan.

“Motivasi pemain berada di tahap tertinggi. Sudah setahun lebih kami bersama dalam pasukan dan sekarang kami dapat memahami antara satu sama lain dengan lebih baik dan mereka tahu apa yang saya mahukan. Kami semakin kuat dan lebih baik,” katanya.

Sarjit ditemui pemberita selepas majlis memperkenalkan kenderaan rasmi Piala Negara-Negara apabila Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerima 10 buah kereta jenama Mazda untuk kegunaan pegawai perlawanan kejohanan tersebut.

Malaysia yang diletakkan sasaran awal mara ke separuh akhir kejohanan diundi dalam Kumpulan B bersama New Zealand, Jepun dan Pakistan sementara Kumpulan A dihuni Afrika Selatan, Perancis, Korea Selatan dan Wales.

Mengulas lanjut, Sarjit mahu menjadikan dua aksi pertama menentang Pakistan pada 15 Jun ini dan bertemu New Zealand keesokan harinya sebagai penanda aras untuk pasukannya menentukan hala tuju skuad Speedy Tigers ke peringkat seterusnya.

“Sebab semua pasukan yang menyertai kejohanan ini mahukan kemenangan kerana kalau kita menang aksi pertama ia akan mencerahkan peluang pasukan dan aksi kedua, anda memerlukan enam mata untuk ke separuh akhir,” katanya.

Habis