Pembantu Cef dinobat Juara Genting Culinary Classic 2025

Perniagaan

BENTONG: Pembantu cef di sebuah terkemuka di Kuala Lumpur, Budiman Bistari Mohamed, 50 dinobatkan Juara Genting Culinary Classic 2025.

Budiman yang menampilkan menu ‘Ayam Golek Buah Kulim’  menggunakan sayur-sayuran dan buah-buahan yang didapati di negara ini.

Katanya, pertandingan seperti ini perlu diperbanyakkan agar pelancong luar lebih mengenali makanan dan tanaman Malaysia seperti buah kulim, buah nam nam dan nasi lemuni.

“Jika ditanya generasi sekarang mungkin ada yang tidak mengenali apa itu nasi lemuni, buah kulim dan buah nam nam. 

“Pelancong yang datang mahukan sesuatu yang asli di negara ini. Jadi, kita perlu serlahkan keunikan makanan sendiri bukannya selarikan dengan citarasa moden,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Genting Culinary Classic 2025 di sini semalam. 

Budiman yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kulinari berkata, pertandingan itu bukan sekadar ruang untuk menunjukkan kemahiran, tetapi satu peluang untuk memperkenalkan keunikan warisan masakan Melayu.

“Kemenangan ni bukan kerana saya hebat tetapi saya berjaya sampaikan cerita makanan kita kepada juri dan orang ramai,” katanya. 

Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee berkata, selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 anjuran Tourism Malaysia, pertandingan ini bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama peminat seni kulinari di seluruh dunia.

“Genting Culinary Classic 2025 bukan sekadar sebuah acara pertandingan gastronomi, tetapi platform untuk meraikan bakat tempatan dan serantau dalam usaha mengangkat nama Malaysia di pentas kulinari antarabangsa,” katanya. 

Jelas beliau, pertandingan ini menonjolkan kepelbagaian warisan kulinari negara serta kemunculan bakat-bakat baharu.

“Acara ini akan diteruskan lagi untuk tahun hadapan dengan anjuran yang lebih besar dan keterlibatan lebih luas,” katanya. 

Buat julung kalinya Resorts World Genting (RWG) menganjurkan Genting Culinary Classic 2025, dengan kerjasama program kompetitif kulinari HAPA (Hospitality Asia Platinum Awards). 

Pertandingan yang bermula 10 hingga 11 Jun di Genting International Showroom (GISR) sempena sambutan ulang tahun ke-60 RWG.

Lebih 20 peserta daripada 120 peserta telah dipilih untuk menyertai pertandingan tersebut bagi menonjolkan bakat, kreativiti dan ketangkasan dalam seni kulinari dalam suasana pertandingan yang kompetitif.

Genting Culinary Classic 2025 yang disokong penuh oleh Tourism Malaysia, turut ditaja oleh jenama peralatan memasak Tefal, produk keluaran Nestlé (Malaysia) Berhad, Maggi dan jenama produk kebersihan, Kimberly Clark Professional.- UTUSAN