Azeem bantu kuartet Universiti Auburn ke final

Sukan

PETALING JAYA: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi berjaya membantu kuartet Universiti Auburn mara ke final 4×100 meter (m) di Kejohanan NCAA di Eugene, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Azeem yang berpangkalan di negara Uncle Sam menamatkan larian 37.97 saat (s) bersama tiga lagi rakannya iaitu Kayinsola Ajani, Dario Matau and Makanakaishe Charamba sekali gus menjadi catatan terbaik musim ini.

Kuartet Universiti Auburn turut melakukan catatan terpantas dalam saingan separuh akhir bersama lapan lagi pasukan yang turut melayakkan diri ke final.

“Tugasan belum selesai,” tulis Azeem di laman sosial miliknya.

Kuartet South Florida muncul kedua terpantas dengan catatan masa 38.12s manakala Louisiana State University di tempat ketiga dengan 38.14s. – UTUSAN