MONTREAL: Perenang remaja Kanada, Summer McIntosh melakar sejarah luar biasa apabila memecahkan dua rekod dunia dalam tempoh tiga hari pada Kejohanan Percubaan Olimpik Kanada 2025, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai bintang utama renang dunia baharu.
Atlet berusia 18 tahun itu memadam rekod 200 meter (m) rampaian individu wanita dengan catatan 2 minit 05.70 saat (s) di British Columbia, Kanada hanya dua hari selepas menakluk rekod dunia acara 400m gaya bebas.
“Secara keseluruhan saya amat gembira dengan catatan ini, dan saya sentiasa cuba untuk terus maju.
“200 (m) rampaian ini adalah acara utama saya, dan ia perlukan pelaksanaan sempurna kerana tiada ruang untuk kesilapan. Ianya seperti acara pecut untuk saya,” kata McIntosh.
Catatan baharu itu mengatasi rekod milik Katinka Hosszu sejak 2015, menjadikan McIntosh wanita pertama dalam sejarah yang berjaya menamatkan acara itu bawah 2.06s.
Perenang sensasi itu turut merakam masa ketiga terpantas dunia dalam acara 800m gaya bebas sehari sebelumnya sekali gus membuktikan dominasi dalam pelbagai disiplin.
“Fokus saya adalah pemulihan, tidur cukup, makan banyak dan tenangkan fikiran. Kunci utama ialah satu perlumbaan demi satu,” jelasnya.
Aksi bertenaga dalam empat gaya itu menyaksikan McIntosh menamatkan perlumbaan jauh meninggalkan Mary-Sophie Harvey (2:08.78s) dan Ashley McMillan (2:12.08s) di tempat kedua dan ketiga. – AGENSI