KUALA LUMPUR: Jaguh muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib berjaya mengumpul hadiah kemenangan hampir RM1 juta sejak menyertai kejohanan seni bela diri terkenal, ONE Championship bermula April 2023.
Pada sabtu lalu, Atlet berusia 21 tahun itu merekodkan kemenangan kelapan daripada 10 pertarungan di pentas ONE Championship selepas menewaskan jaguh Maghribi, Elmehdi El Jamari di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand.
Kemenangan itu membuka laluan kepada Aliff untuk mencabar kejuaraan dunia kategori strawweight menentang juara bertahan dari Thailand, Prajanchai PK Saenchai yang dijangka berlangsung September ini.
“Kalau Aliff menang, ia akan jadi sejarah baharu. Sudah tentu ganjaran yang menanti juga lebih lumayan,” kata Aliff kepada pemberita selepas sesi latihan di Kuala Lumpur, semalam.
Sejak mencipta kejutan di pentas antarabangsa, Aliff ditawarkan kontrak lumayan bernilai AS$100,000 (RM424,079) selepas menewaskan Peyman Zolfaghari pada November 2023.
Prestasi konsisten turut membolehkannya meraih bonus AS$10,000 (RM42,407) sebanyak empat kali, selain ganjaran khas AS$50,000 (RM212,039) selepas aksi dramatik menumpaskan Zakaria El Jamari dari Maghribi.
Secara keseluruhan, Aliff kini meraih pendapatan keseluruhan AS$190,000 (RM805,751), satu angka luar biasa bagi petarung muda sepertinya hasil kerja keras di pentas dunia.
Bagaimanapun, Aliff mengakui tidak alpa dengan ganjaran yang diraih, sebaliknya memilih untuk melabur kembali dalam bidang yang diceburinya.
“Dengan duit dari ONE Championship, saya dapat beli tanah di Kelantan dan buka gim sendiri, KIB Boxing Muaythai Gym, Setapak.
“Impian saya adalah nak melahirkan lebih ramai generasi pelapis yang boleh ikut jejak langkah ke pentas dunia,” katanya.-UTUSAN