PETALING JAYA: Projek revolusi Harimau Malaya yang dicetuskan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berada di landasan tepat apabila skuad negara berjaya menumpaskan Vietnam 4-0, kelmarin.
Bukan itu sahaja, skuad nngara kendalian Peter Cklamovski juga sebelum ini berjaya mengikat pasukan ditangga ke-72 dunia iaitu cape Verde 1-1 dalam aksi persahabatan Tier 1 yang berlangsung pada 29 Mei lalu.
Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar berkata, dua keputusan positif dalam dua perlawanan kompetitif itu menjadi bukti awal kejayaan projek revolusi Harimau Malaya.
Katanya, strategi membawa pulang pemain warisan dari Amerika Latin dan Eropah juga diyakini dapat merubah ekosistem arena bola sepak tempatan ke arah lebih positif dalam beberapa tahun akan datang.
“Saya pernah katakan sebelum ini, cuba bayangkan jika Tunku Mahkota Ismail tidak membantu dalam bola sepak negara. Apa akan jadi kepada masa depan pasukan, tetapi ramai pulak yang menuduh saya memberi kenyataan tidak tepat.
“Sekarang kita dapat saksikan, apa yang diusahakan baginda dengan merevolusikan pasukan dengan membawa masuk kepakaran dan pemain warisan luar sudah berhasil.
“Kita perlu akui tanpa bantuan dan usaha ikhlas Tunku Majhkota Ismail mungkin sukar untuk kita berubah, apatah lagi untuk menewaskan Vietnam yang sudah 11 tahun kita tak pernah menang dengan mereka.
“Saya fikir ini adalah titik permulaan kepada kebangkitan bola sepak negara dan kita seharusnya sama-sama menyokong usaha ini,” katanya juga merupakan mantan Exco FAM.
Skuad Harimau Malaya mencipta sensasi apabila mengejutkan skuad Naga Emas 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), kelmarin sekali gus menamatkan badi kekalahan selama 11 tahun.
Impak kehadiran lima tonggak warisan nyata memberi nafas baharu dan kelainan dalam corak permainan pasukan kebangsaan.
Empat gol Malaysia disumbangkan Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Corbin Ong dan Dion Cools yang kesemuanya diraih pada babak kedua.
Hasil kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya di tangga pertama Kumpulan F dengan mengumpul enam mata selepas turut membenam Nepal 2-0 pada Mac lalu.
Ujar Syed Yazid lagi, secara peribadi beliau dan seluruh pencinta bola sepak Kuala Lumpur akan menyokong usaha Tunku Ismail untuk memartabatkan bola sepak negara di mata dunia.-UTUSAN