Ninja Van, PDRM banteras ‘scam’ bungkusan

Perniagaan

SUBANG JAYA: Walaupun industri e-dagang terus mencatat pertumbuhan pesat selari dengan agenda pendigitalan negara, kes penipuan atau ‘scam’ bungkusan dilihat semakin membimbangkan apabila lebih 3,500 kes direkodkan di luar Lembah Klang dalam suku pertama 2025.

Peningkatan drastik ini sebanyak 85 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Perkembangan ini turut mendorong Ninja Van Malaysia memperkukuh kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai usaha bersama menangani jenayah digital yang semakin kompleks.

Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia, Lin Zheng, berkata pihaknya tidak lagi boleh melihat isu keselamatan sebagai tanggungjawab sekunder dalam dunia logistik.

“Penipuan kini bukan lagi isu terpencil dalam masa hanya satu suku, kes luar Lembah Klang naik 85 peratus, manakala Lembah Klang sendiri merekodkan lebih 2,200 kes dengan peningkatan 64 peratus, petanda bahawa modus operandi penjenayah semakin meluas.

“Kita juga melihat trend yang semakin membesar di Malaysia Timur, walaupun jumlah keseluruhan lebih rendah, kes meningkat daripada lebih 250 pada suku kedua 2024 kepada lebih 600 kes pada suku keempat satu peningkatan hampir 147 peratus dalam tempoh hanya dua suku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi Memorandum Persefaham (MoU) Ninja Van Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Zheng berkata, bentuk penipuan yang paling lazim, iaitu penipuan ‘Bayar Semasa Terima’ (COD) yang mengeksploitasi kepercayaan pengguna.

“Taktik yang digunakan ialah ‘ghost delivery scams’, di mana individu tidak dikenali menyamar sebagai penghantar dan memaksa penerima membayar bagi bungkusan yang kononnya dipesan oleh ahli keluarga mereka.

“Penipuan e-dagang kini merupakan kategori kedua tertinggi selepas pelaburan tidak wujud, dengan ramai pengguna tertipu akibat promosi palsu di media sosial dan laman web tidak sah.

“Tawaran terlalu murah, promosi masa terhad, dan desakan untuk membeli segera semua itu adalah taktik biasa penipu e-dagang,” katanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Operasi) Selangor, Yap Huat Tian, dengan lebih 35,000 kes penipuan dilaporkan PDRM pada 2024, membabitkan kerugian mencecah RM1.6 bilion, kerjasama seperti ini adalah benteng awal melawan jenayah siber,” katanya.-UTUSAN