SC gantung Chengco, isu kualiti audit

Perniagaan

PETALING JAYA: Lembaga Pemantauan Audit (AOB) menggantung pendaftaran firma audit, Chengco PLT (CCO), selama dua tahun berkuat kuasa hari ini, selepas mendapati firma itu gagal mematuhi piawaian pengauditan antarabangsa membabitkan isu kualiti audit yang serius dan berulang.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam satu kenyataan berkata, AOB turut mengenakan sekatan terhadap lima rakan kongsi audit firma itu yang terbabit dalam pengauditan tiga Entiti Kepentingan Awam (PIE).

Dua daripada rakan kongsi itu, Hong Thuan Boon dan Yap Peng Boon, digantung selama dua tahun, manakala tiga lagi iaitu Tan Wae Leng, Kong Tung Sam dan Ng Kee Siang, dilarang daripada menerima sebagai pelanggan dan mengaudit mana-mana PIE atau dana jadual selama setahun.

“Sekatan itu berikutan penemuan AOB tentang pelbagai pelanggaran dan kegagalan CCO mematuhi keperluan Piawaian Pengauditan Antarabangsa (ISA) semasa mengaudit ketiga-tiga PIE.

“Penemuan itu melibatkan bidang audit asas dan utama, termasuk kegagalan mendapatkan bukti audit mencukupi dalam bidang seperti pinjaman bank, baki pembukaan, penggunaan andaian usaha berterusan, hasil, kos jualan dan muhibah,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut AOB, kekurangan audit yang sama turut ditemui berulang kali dalam aspek kos pembangunan hartanah dan simpanan tetap.

Dalam pada itu, penyemak kawalan kualiti penglibatan (ECQR) didapati gagal menyemak dengan secukupnya dokumentasi audit utama, sekali gus memberi kesan negatif terhadap kualiti audit keseluruhan.

SC turut memaklumkan, penemuan ini adalah lazim dalam semua tugasan audit yang diperiksa dan sesetengahnya adalah isu berulang daripada pemeriksaan AOB yang lalu terhadap CCO.

“Walaupun sebelum ini pernah didenda oleh AOB pada 2019, CCO gagal menunjukkan peningkatan dalam kualiti audit keseluruhan. Hong Thuan Boon dan Yap Peng Boon juga sebelum ini pernah dikenakan sekatan oleh AOB pada 2019,” jelas kenyataan itu.

CCO telah membuat rayuan kepada SC terhadap tindakan penguatkuasaan AOB, namun rayuan itu ditolak dan SC mengesahkan keputusan AOB.

Rakan kongsi yang terjejas tidak membuat rayuan, dengan penggantungan dan larangan ke atas mereka berkuat kuasa mulai 30 April 2025.-UTUSAN