Scoot tawar tambang bermula daripada RM961.24 ke Vienna

Perniagaan

PETALING JAYA: Scoot, anak syarikat tambang rendah Singapore Airlines (SIA) meraikan sebuah detik bersejarah dengan penerbangan terus sulung dari Singapura ke Vienna, Austria.

Ketibaan pesawat penerbangan TR710 di Vienna pada 4 June 2025 telah disambut meriah dengan pancuran air. Sambutan ketibaan penerbangan tersebut turut diserikan dengan kehadiran wakil-wakil utama dari Scoot,  Lapangan Terbang Antarabangsa Vienna, Austria Tourism dan rakan kerjasama industri yang lain.

Sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan terus antara Vienna dan Singapura, Scoot akan mengendalikan penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Vienna dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dengan kekerapan sebanyak tiga kali seminggu menggunakan pesawat Boeing 787-8 Dreamliner.

Bagi meraikan majlis istimewa ini, penumpang TR710 telah menerima ole-ole eksklusif Austria, termasuk coklat artisan dan kipas tangan kertas diinspirasi oleh warisan bandar yang kaya daripada pihak Scoot dan Austria Tourism.

Scoot juga telah menjemput pemuzik tempatan Singapura, T’ang Quartet untuk menyajikan persembahan dalam penerbangan unik dengan mendendangkan muzik klasik merdu secara langsung buat penumpang penerbangan sulung TR710 dan TR711.

Pelancong dari Malaysia kini boleh terbang ke Vienna dengan mudah melalui Singapura, menjadikan Eropah sebuah destinasi mudah diakses buat pelancong Malaysia yang menginginkan pilihan perjalanan yang lebih berpatutan melangkaui percutian tradisional.

Harga tiket satu hala dari Kuala Lumpur ke Vienna bermula daripada RM961.24.

Ketua Pegawai Operasi Scoot, Ng Chee Keong,berkata, “Kami amat teruja hari ini untuk melancarkan penerbangan sulung kami ke Vienna dan menjadi sebahagian daripada detik bersejarah bersama rakan kerjasama kami yang menjadikan detik ini sebuah realiti.

“Vienna merupakan destinasi menarik untuk pelancong Asia Pasifik bagi meneroka sejarah dan warisan budaya Eropah yang kaya. Untuk penduduk Eropah, laluan penerbangan baharu ini menawarkan lebih pilihan buat pelanggan untuk mengalami kemeriahan Singapura dan bandar-bandar lain di Asia Tenggara.

“Kami berharap laluan baharu ini membantu dalam merapatkan budaya dan memberi ilham kepada lebih pelanggan untuk meneroka destinasi baharu dan mencipta pengalaman manis ketika percutian.”

Ketua Pegawai Eksekutif dan Operasi Lapangan Terbang Vienna,  Julian Jager,  berkata, “Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan ketibaan Scoot ke Vienna. Laluan baharu antara Vienna dan Singapura bukan sahaja meningkatkan ketersambungan lapangan terbang ini ke Asia, malah ia turut menawarkan pelancong dari kedua-dua rantau akses yang lebih baik serta pertukaran budaya.

“Kami mengharapkan kerjasama yang berjaya dengan Scoot, sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan industri perjalanan dan pelancongan Austria dan Asia Pasifik.”

Dengan tambahan Vienna sebagai destinasi terkini, Scoot kini terbang ke 73 destinasi di 18 buah negara dan wilayah di Asia Pasifik, Timur Tengah dan Eropah. – UTUSAN