RTG jadi landasan emas buat Aniq

Sukan

PETALING JAYA: Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan percaya Program Road to Gold (RTG) mambu memberi suntikan semangat kepadanya untuk membutirkan pingat di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Atlet berusia 23 tahun itu berkata, dengan sistem sokongan kukuh dan hala tuju yang jelas serta konsisten, impian untuk melakar sejarah buat angkat berat Malaysia di LA2028 bukan lagi sesuatu yang mustahil.

“Harapan saya ialah sokongan servis yang terbaik daripada mereka (RTG). Kalau mula dari sekarang, saya rasa mungkin boleh (capai pingat emas), sebab sebelum (Olimpik) Paris pun, walaupun waktu singkat saya tetap dapat prestasi baik,” kata Aniq.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu menyifatkan struktur program empat tahun RTG kali ini lebih tersusun dan memberi ruang secukupnya untuk atlet berkembang secara berperingkat.

Katanya, apa yang penting ialah atlet kena kekal fokus kepada latihan harian dan sentiasa memperbaiki diri, sambil dibantu oleh kepakaran sokongan termasuk fisioterapi dan pemulihan kecederaan.

“Jawatankuasa RTG kata tahun depan mesti 10 terbaik dunia. Tahun terakhir sebelum Olimpik LA2028 mesti empat terbaik dunia. Saya rasa tak mustahil benda itu (ranking dan prestasi) boleh terjadi.

“Jadi saya teruskan latihan, fokus dan beri sokongan kepada RTG. Tak mustahil untuk ada kejutan,” katanya.

Dalam pada itu, Aniq yang berdepan kecederaan bahu menyasarkan untuk layak secara merit ke Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland menerusi Kejohanan Angkat Berat Komanwel di Ahmedabad, India pada hujung Ogos depan.

“Alhamdulillah, saya dah 70 peratus pulih dan latihanpun dah mula tiga minggu. Proses pemulihan saya sangat pantas daripada jangkaan saya. Latihan saya tidak terlalu berat ketika ini.

“Untuk kejohanan bulan Ogos nanti saya nak layak secara merit. Sekiranya jadi juara dalam kejohanan itu, automatik layak ke Komanwel. Kalau tidak, kena ke kejohanan lain pula untuk lepasi had kelayakan,” katanya lagi.-UTUSAN