KUALA LUMPUR: Syarikat pemaju hartanah, EcoFirst Consolidated Bhd. menyasarkan untuk menyiapkan pembangunan mercu tanda KL48 menjelang suku kedua 2026, lebih awal daripada jadual asal, susulan kejayaan penyempurnaan struktur bumbung projek tersebut.
Setakat ini, 92 peratus unit KL48 telah berjaya dijual, mencerminkan keyakinan tinggi pembeli terhadap lokasi strategik dan konsep pembangunan yang ditawarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Wilbert Goh berkata, pencapaian ini bukan sekadar kemajuan fizikal, tetapi juga simbolik kepada komitmen syarikat dalam menyampaikan pembangunan kediaman berkonsep moden, terhubung dan inklusif di ibu kota.
“KL48 direka bentuk untuk memenuhi gaya hidup generasi baharu, menekankan aspek aksesibiliti, keselamatan dan kemudahan moden dalam satu persekitaran hidup yang holistik,” katanya semasa Majlis Penyempurnaan Struktur Bumbung KL48 di sini, hari ini.
Menurutnya, pembangunan ini dijangka siap lebih awal daripada jadual kerana kerja-kerja struktur utama telah disiapkan lebih cepat daripada yang dirancang.
KL48 merupakan pembangunan kediaman bertingkat tinggi yang terdiri daripada dua blok pangsapuri servis dengan keseluruhan 1,700 unit, serta sembilan unit ruang perniagaan.
Dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sekitar RM1 bilion, projek itu dibangunkan sebagai Pembangunan Bersebelahan Transit (TAD), menawarkan akses mudah hanya 500 meter dari stesen MRT dan LRT terdekat.
Penduduk KL48 bakal menikmati pelbagai ciri gaya hidup termasuk perkhidmatan ulang-alik percuma, sistem keselamatan tiga peringkat dan pelbagai kemudahan moden dalam lokasi yang mudah diakses.
Sementara itu, Pengurus Besar China Selatan Construction Eighth Engineering Division Corp. Ltd., Gu Li berkata, struktur utama KL48 berjaya disiapkan dalam tempoh 17 bulan iaitu empat bulan lebih awal daripada jadual asal.
“Ini mencerminkan kekuatan teknikal dan kerjasama erat antara pihak kami dan pemilik projek. Dari awal, kami berpegang pada semangat ‘bermula sebagai pertempuran, sepanjang jalan adalah kecemerlangan’,” katanya.
Gu Li turut menyifatkan kejayaan itu sebagai simbol kejayaan projek kejuruteraan yang dirancang teliti dan dilaksanakan secara sistematik.
Dalam pada itu, Wilbert Goh turut mendedahkan perancangan syarikat untuk melancarkan projek pembangunan bercampur baharu di Jade Hills, Kajang, pada suku ketiga 2025.
Projek pegangan bebas seluas 4.5 hektar itu dijangka membawa GDV sekitar RM400 juta dan merangkumi 1,072 unit kediaman jenis SOVO, SOHO dan pangsapuri servis, selain 12 lot komersial termasuk pasar raya premium serta premis makanan dan minuman.- UTUSAN