Ujian pertama Speedy Tigers menentang Pakistan

Sukan

PETALING JAYA: Pemain tengah skuad hoki kebangsaan, Fitri Saari mengingatkan agar rakan sepasukannya berwaspada dalam aksi pertama Kumpulan B Piala Negara-Negara berdepan Pakistan di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, Ahad ini.

Fitri berkata, berdasarkan dua rekod pertemuan sebelum ini, kedua-dua pasukan mempunyai peluang setara apabila seri 4-4 pada Piala Negara-Negara 2024 sebelum Malaysia tewas 4-5 pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah tahun lalu.

“Semua pemain tidak sabar untuk beraksi di kejohanan ini. Saya berharap semua pemain dapat memberikan yang terbaik dan kita tengok aksi pertama kita menentang Pakistan dan peluang agak 50-50.

“Aksi terdahulu kita seri sekali dan kalah sekali dan ini aksi kedua-dua pasukan ada peluang sama rata. Saya harap kami berjaya dapatkan keputusan yang baik (menentang Pakistan) kerana sasaran kami adalah empat pasukan terbaik.

“Sasaran kita adalah menang dengan Pakistan dan Jepun (18 Jun), menentang New Zealand (16 Jun) kita cuba buat yang terbaik. Kita pernah menewaskan mereka (New Zealand), kita tahu mereka kuat tapi kita ada peluang untuk tewaskan mereka.

“Saya harap dengan kelebihan selaku tuan rumah kita dapat layak ke separuh akhir dan final, Insya-Allah,” katanya.

Malaysia menamatkan saingan kejohanan pada edisi lalu di tempat ketujuh dan melihat kepada pencapaian tersebut, pemain berusia 32 tahun itu mengakui ia menjadi pembakar semangat untuk mengubah keputusan itu.

“Kurang memuaskan daripada segi persembahan pasukan dan keputusan. Kita sudah bentuk pasukan setahun lebih, ada persefahaman antara pemain dapat bantu kita ke separuh akhir,” katanya.-UTUSAN