FAM hargai sumbangan Tunku Mahkota Ismail

Sukan

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merafak setinggi-tinggi penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas usaha serta komitmen berterusan baginda dalam merevolusikan skuad Harimau Malaya.

Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, sentuhan kepimpinan dan inisiatif Tunku Mahkota Ismail mula menunjukkan hasil yang memberangsangkan apabila Malaysia berjaya membenam cabaran Vietnam 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu.

“Sudah tentu kemenangan ini cukup manis dan istimewa kerana selepas 11 tahun menanti, akhirnya kita berjaya menewaskan pasukan Vietnam yang merupakan antara kuasa besar bola sepak Asia Tenggara.

“Bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif FAM, saya ingin mengucapkan terima kasih dan menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Ismail atas kesungguhan serta kepedulian baginda terhadap pembangunan pasukan kebangsaan.

“Baginda sentiasa bersama FAM, memberikan pandangan serta sokongan yang amat bernilai dalam usaha memperkasakan skuad Harimau Malaya,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ketiga Penggal 2025-2029 di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Mohd Joehari turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerajaan atas sokongan berterusan khususnya dari segi peruntukan kewangan bagi memastikan kelangsungan pembangunan bola sepak negara.

“Bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan pastinya menyuntik motivasi dan semangat kepada barisan pemain untuk mencapai lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Saya mewakili FAM sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas komitmen dan keyakinan beliau terhadap kebangkitan Harimau Malaya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohd. Joehari juga tidak melupakan peranan besar para penyokong setia skuad kebangsaan termasuk Ultras Malaya yang kembali membanjiri Stadium Nasional dengan sorakan padu.

“Semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh penyokong ini amat dihargai. Mereka adalah pemain ke-12 yang memberi dorongan tambahan kepada pemain untuk beraksi dengan penuh semangat dan kebanggaan,” jelasnya.-UTUSAN