Perkeso,Neo meterai MoU perkukuh sistem perlindungan sosial

Perniagaan

PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pejabat Kebangsaan Pekerjaan Belgium (Neo) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan sistem perlindungan sosial dan perkhidmatan pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kerjasama strategik antara kedua-dua negara itu membuka ruang baharu untuk perkongsian pengetahuan dan berpotensi mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, khususnya dalam aspek perkhidmatan pekerjaan dan perlindungan keselamatan sosial.

“Kolaborasi Perkeso dan Neo menandakan komitmen Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) untuk menerapkan amalan terbaik global yang juga dijangka mampu memacu inovasi dan memperkukuh keupayaan Malaysia dalam menghadapi cabaran pasaran kerja yang sentiasa berubah,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau mengakui bahawa jika dibandingkan dengan Belgium, sistem keselamatan sosial di Malaysia masih berkembang dan beberapa aspek boleh diperkukuh terutama dalam skim perlindungan keselamatan insurans pekerjaan.

“Lain-lain aspek termasuk penguatkuasaan, liputan dan integrasi yang melibatkan kedua-dua sektor pekerjaan formal dan tidak formal juga perlu diperkukuh,” katanya.

Pertukaran MoU berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat) Perkeso, Edmund Cheong Peck Huang dan Ketua Pegawai Eksekutif Neo, Dr. Jean Marc Vandenbergh.

Turut menyaksikan majlis tersebut ialah Duta Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah, Datuk Mohd. Khalid Abbasi Abdul Razak serta Ketua Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso, Gayathri Vadivel.

Melalui kolaborasi itu, Perkeso berpeluang meneroka transformasi digital, strategi dan pembangunan yang dilaksanakan Neo selain mendalami usaha membanteras penipuan rentas sempadan di peringkat global.

Tambah Steven, beliau turut menyifatkan Belgium mempunyai sistem perlindungan sosial yang kukuh dengan faedah pengangguran dan program latihan semula yang berkesan, di samping terkenal dengan program latihan vokasional yang unggul serta kepakaran dalam sektor teknologi tinggi dan inovasi.

“Kerjasama ini turut merangkumi sektor teknologi dan inovasi, yang berpotensi memperkukuh dasar pekerjaan dan perlindungan sosial untuk menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya.-UTUSAN