CEDAR jalin kerjasama mobilisasi RM50 juta untuk PKS 

Perniagaan

PETALING JAYA: Platform kewangan digital Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terbesar di Asia Tenggara, Funding Societies Malaysia menjalinkan kerjasama strategik dengan Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan (CEDAR), cabang latihan dan pembangunan kapasiti Bank PKS Malaysia Berhad.

Kerjasama itu bertujuan memobilisasi sehingga RM50 juta pembiayaan bagi menyokong akses kredit PKS Malaysia dalam komuniti perniagaan CEDAR menerusi Perjanjian Penyertaan yang dimeterai baru-baru ini.

Inisiatif strategik itu bertujuan untuk menangani cabaran yang dihadapi PKS Malaysia terutama dalam mendapatkan pembiayaan yang dianggarkan mencecah RM290 bilion pada 2022 menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Kolaborasi itu akan menyampaikan penyelesaian pembiayaan yang mudah diakses dan disesuaikan termasuk pembiayaan belum bayar patuh Shariah, pembiayaan belum terima dan pembiayaan berjangka melalui platform digital dan metodologi penilaian kredit alternatif.

Dalam pada itu, Funding Societies juga akan menyediakan tawaran itu kepada usahawan layak dengan tumpuan khusus kepada vendor yang menyokong entiti kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat multinasional.

Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, beliau berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama dengan CEDAR iaitu salah satu penyokong lama pembangunan PKS. 

“Perjanjian ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk meningkatkan akses kewangan perniagaan tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, dengan mengintegrasikan platform digital CEDAR dan menjangkau usahawan melalui jangkauan seluruh negara, mereka berharap menjadikan pembiayaan lebih inklusif, pantas dan disesuaikan dengan keperluan PKS Malaysia yang berkembang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CEDAR, Amirul Imran Ahmat berkata, sebagai cabang latihan dan pembangunan kapasiti Bank PKS, mereka tetap komited menyediakan sokongan melangkaui pembiayaan kepada usahawan tempatan sepanjang kitaran hayat mereka.

“Dengan lebih 83,000 usahawan dilatih setakat ini, CEDAR teguh dalam aspirasi menjadi pusat kecemerlangan Malaysia bagi pembangunan keusahawanan,” katanya.

Majlis pemeteraian baru-baru itu telah dirasmikan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Funding Societies, Wong Kah Meng dan Ketua Pegawai Digital dan Teknologi Kumpulan Bank PKS, Hairil Izwar Abd Rahman.

Dalam pada itu, Funding Societies dan CEDAR akan menganjurkan roadshow melalui 19 pusat perusahaan dalam rangkaian Bank PKS seluruh negara bagi meningkatkan literasi kewangan dan penggunaan digital dalam kalangan PKS Malaysia.

Antara kriteria syarikat yang layak mendapat pembiayaan melalui kerjasama itu adalah termasuk syarikat pemilikan tunggal, perkongsian, perkongsian liabiliti terhad, syarikat sendirian berhad (bukan subsidiari syarikat tersenarai), syarikat awam tidak tersenarai atau syarikat awam tersenarai dan subsidiari dan syarikat dengan minimum 30 peratus pemilikan tempatan oleh rakyat Malaysia.

Tawaran pembiayaan fleksibel itu pula akan disediakan melalui platform digital CEDAR termasuk ELSA, ScoreXcess dan ODELA.- UTUSAN