GSA perlu cari RM2 juta untuk beraksi di Liga A1

Sukan

KANGAR: Kerajaan negeri akan cuba membantu Guar Syed Alwi (GSA FC) bagi merealisasikan impian wakil tunggal Perlis itu untuk beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro.

GSA FC kini berdepan cabaran dalam memastikan segala kriteria termasuk pendanaan pasukan berjumlah RM2 juta dapat dipenuhi bagi beraksi di liga kedua tertinggi di Malaysia itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Mohd. Ridzuan Hashim berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Exco bagi melihat bentuk bantuan yang dapat disalurkan.

“Harapan kita juga agar GSA FC dapat bermain bersungguh-sungguh dalam liga berkenaan nanti seterusnya memastikan dapat ke peringkat lebih tinggi (Liga Super) selepas ini.

“Mana-mana pihak swasta juga diharap dapat membantu selain kelab dapat meningkatkan inisiatif dalam mencari penaja,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden GSA FC, Mohd Azrul Abu Hassan berkata, pihaknya kini sedang berusaha menyiapkan pelbagai kriteria termasuk dokumen selepas diberikan kelulusan bersyarat oleh Liga Bola Sepak Amatur (AFL).

Katanya, meskipun layak secara merit selepas menjuarai Liga A2 musim lalu, namun penyertaan di dalam Liga A1 itu perlu diambil serius sebagai langkah awal dalam usaha untuk bersaing di peringkat lebih tinggi seperti Liga Super.

Namun begitu katanya, penyertaan secara rasmi masih dalam peringkat perancangan dan penelitian berikutan faktor kewangan, logistik dan keperluan teknikal menjadi cabaran utama dihadapi oleh pihak pengurusan.

“Seperti yang sudah ditetapkan oleh AFL, RM2 juta adalah kos yang diperlukan dalam menggerakan kelab ini dalam saingan Liga A1. Kita juga sedang berusaha melengkapkan segala aspek termasuk dokumen dikehendaki oleh AFL.

“Banyak faktor perlu diambil kira, ditambah pula, terdapat kelab dari Sarawak yang memerlukan pasukan terbang ke sana bagi perlawanan nanti dan penyertaan ke Liga A1 ini bukan sekadar bertanding sebaliknya untuk buka ruang pembangunan sukan dan bakat anak muda di Perlis secara keseluruhan.

“Malah, kita tidak nafikan bahawa sudah ada gerakan peminat bola sepak Perlis yang turut menyumbang secara peribadi kepada perjalanan kelab ini bagi memastikan ia dapat direalisasikan untuk beraksi dalam Liga A1 ini,” katanya.-UTUSAN