Bekas KP SPRM pilih sertai UMNO

Politik

BUTTERWORTH : Selepas tiga tahun berkhidmat untuk rakyat khususnya di kawasan Parlimen Tasek Gelugor, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad akhirnya memutuskan untuk menyertai UMNO.

Dzulkifli menyerahkan borang keahliannya sebagai ahli parti itu kepada Ketua UMNO Cawangan Merbau Kudong, Mohd. Ramli Daud dalam satu majlis ringkas di Sungai Dua di sini, malam tadi.

Anak jati Pulau Pinang itu berkata, beliau mengambil masa yang agak lama untuk membuat penilaian sebelum memilih untuk ‘terjun’ ke dalam dunia politik.

“Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya aktif dalam parti dan menyerahkan borang keahlian saya sebagai ahli UMNO.

“Insya-Allah, saya akan teruskan kerja-kerja saya (membantu rakyat) di Tasek Gelugor yang sebelum ini dilakukan atas platform atau kapasiti saya sendiri (peribadi) dan pejabat saya (Pejabat Tan Sri Dzulkifli atau TSDZ).

“Bagi saya, apa yang penting ialah dapat terus membantu rakyat di Tasek Gelugor ini tanpa mengira kaum atau agama,” katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata, pada masa ini, beliau hanya menjadi ahli biasa tanpa sebarang perjanjian dengan rakyat atau pimpinan UMNO sendiri.

Katanya, beliau memilih UMNO kerana parti tersebut pernah menjadi dominan suatu ketika dahulu selain berhasrat membawa ‘nafas baharu’ untuk parti milik orang Melayu itu.

“Dalam hal ini, UMNO perlu kembali untuk menjadi payung kepada bangsa Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya,” katanya yang bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai sasaran pembabitannya dalam politik ketika ini.

Dzulkifli sebelum ini pernah memberi bayangan akan menyertai parti politik khususnya ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 dan namanya turut disebut-sebut akan bertanding kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada PRU berkenaan.

Bagaimanapun, khabar angin tersebut yang bertiup kencang pada ketika itu tidak menjadi kenyataan.-UTUSAN