KUALA LUMPUR: Masa depan beregu No.1 negara, Pearly Tan–M. Thinaah bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus menjadi tanda tanya selepas tiada kata putus dimeterai kedua-dua pihak.
Kontrak pasangan No.3 dunia itu bersama BAM telah berakhir sejak Disember tahun lalu, namun nama mereka masih berada dalam sistem badan induk itu sehingga kini tanpa sebarang perjanjian muktamad.
Biarpun tidak terikat dengan sebarang dokumen yang ditandatangani, pasangan No.3 dunia itu difahamkan masih menjadi ‘anak emas’ dengan menikmati gaji dan kemudahan mewah seperti biasa daripada BAM.
Presiden BAM, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz juga memberi bayangan gandingan Pearly-Thinaah tetap menjadi ‘aset’ badan induk itu kerana nama kedua-dua mereka masih berada dalam sistem BAM.
“Kalau seseorang itu menerima gaji, maknanya dia memang pekerja bergaji. Kalau tiada kontrak ditandatangani, itu bermakna kontrak tersebut belum dipersetujui kedua-dua pihak,” kata Tengku Zafrul.
Sebelum ini, difahamkan Pearly-Thinaah akan menyelesaikan isu kontrak mereka bersama BAM selepas berakhirnya Terbuka Indonesia pada 8 Jun lalu, namun sehingga kini masih tiada kata putus.
Peminat dan pemerhati kini hanya mampu menunggu, adakah Pearly-Thinaah terus kekal sebagai tulang belakang beregu wanita BAM, atau memilih haluan bebas yang mungkin mengejutkan seluruh negara?.-UTUSAN