BAuto dijangka berdepan cabaran landskap automotif tempatan, serantau

Perniagaan

PETALING JAYA: Bermaz Auto Bhd (BAuto) dijangka terus berdepan cabaran dalam landskap automotif tempatan dan serantau, khususnya disebabkan oleh peningkatan persaingan daripada jenama kenderaan elektrik (EV) dan enjin pembakaran dalaman (ICE) dari China.

Penganalisis BIMB Securities, Sabariah Akhair, berkata prospek BAuto kekal berhati-hati meskipun langkah strategik seperti kemasukan jenama Deepal dilihat selari dengan aspirasi pertumbuhan jangka panjang kumpulan.

“Kami mengekalkan pandangan berhati-hati kerana persaingan yang semakin sengit daripada jenama EV dan ICE China terus memberi tekanan kepada jumlah jualan dan margin.

“Walaupun kemasukan Deepal ke dalam portfolio Bermaz menjadi langkah strategik ke dalam ruang EV, kami menjangka sumbangan pendapatan jangka pendek adalah minimum memandangkan dominasi pesaing China dengan harga agresif dan teknologi canggih,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam laporan prestasi suku keempat berakhir 30 April 2025, BAuto melaporkan keuntungan bersih teras sebanyak RM21 juta, menurun 77.2 peratus berbanding tahun sebelumnya dan  penurunan 14 peratus berbanding suku sebelumnya.

Keseluruhan tahun kewangan 2025 menyaksikan keuntungan bersih BAuto merosot 56.1 peratus kepada RM154 juta daripada RM351 juta pada tahun kewangan 2024.

BIMB Securities berkata, penurunan ketara itu berpunca daripada permintaan yang lemah, persaingan harga yang ketara serta jualan yang merosot dalam segmen utama seperti Mazda dan Kia.

“Semua segmen perniagaan terjejas. Kami juga melihat sumbangan lebih rendah daripada syarikat bersekutu serta pendapatan lain yang lemah,” katanya. 

Pendapatan bagi tahun kewangan 2025 turut susut 33.2 peratus kepada RM2.62 bilion berbanding RM3.93 bilion setahun lalu.

Margin keuntungan juga menguncup ketara dengan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) merosot kepada 8.6 peratus daripada 12.2 peratus, manakala margin keuntungan sebelum cukai jatuh kepada 8.5 peratus daripada 12.4 peratus.

BAuto turut mengumumkan dividen interim terakhir sebanyak 1.5 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan 2025 sebanyak 16.75 sen, berbanding 26.0 sen pada 2024.

Ia menyaksikan hasil dividen sebanyak 18 peratus, namun berisiko tidak mampan jika prestasi tidak pulih.

Mengulas lanjut, Sabariah berkata, BIMB Securities telah menurunkan unjuran pendapatan BAuto bagi tahun kewangan 2026 dan 2027 masing-masing sebanyak 20 peratus dan 27 peratus, mencerminkan jangkaan jumlah jualan yang lebih lemah, pulangan daripada syarikat bersekutu yang rendah serta pendapatan lain yang terjejas.

Berdasarkan unjuran baharu itu, sasaran harga saham juga diturunkan kepada 86 sen (dari RM1.12 sebelum ini), menggunakan nisbah harga/pendapatan (PER) 8.6x berdasarkan EPS tahun kewangan 2026 sebanyak 10 sen sesaham.

Dengan harga saham semasa sekitar 93 sen, ia menunjukkan potensi penurunan sebanyak 7.5 peratus.

“Bermaz kini dikategorikan sebagai ‘HOLD’ kerana prospek masa depan yang mencabar dan tekanan harga berterusan. Dengan harga saham yang berada di paras terendah sepanjang masa, sebarang penurunan di bawah paras sokongan semasa boleh mencetuskan lebih banyak tekanan jualan,” jelasnya.

Berdasarkan carta jualan unit, jumlah kenderaan yang dijual menunjukkan trend menurun sejak pertengahan 2024, mencerminkan kesukaran mengekalkan daya saing terhadap lambakan jenama baharu dan model yang lebih menarik dari China.

Peta produk Bermaz untuk 2025 memperlihatkan perluasan barisan model EV, termasuk model-model Deepal dan Kia EV6, namun potensi untuk mencipta lonjakan dalam jualan masih samar dalam masa terdekat.

Berdasarkan data tahun kewangan 2025, margin EBITDA hanya 7.0 peratus dan dijangka menyusut kepada 5.0 peratus pada tahun kewangan 2026 dan 2027.

Keuntungan bersih dijangka terus menurun kepada hanya RM117 juta pada tahun kewangan 2026 dan RM120 juta pada 2027, dengan EPS sekitar 10 sen setahun.-UTUSAN