Cawangan UMNO perlu diberi peranan lebih besar

Politik

PONTIAN: Cawangan UMNO di seluruh negara perlu diberi peranan lebih besar dalam mobilisasi awal jentera, menerusi pendekatan mesra rakyat termasuk program pendidikan serta sokongan kebajikan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, semua perwakilan di Mesyuarat UMNO Bahagian dicadang memberi syor memperkasakan struktur sebanyak 22,050 cawangan parti.

“UMNO tidak seperti parti lain yang hanya ada puluhan cabang. Kekuatan kita pada jumlah dan sistem akar umbi. Itu yang perlu diperkukuhkan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor menyusul.

“Kalau kita mantapkan cawangan secara automatik bahagian akan jadi kuat. Kalau bahagian kuat, PRN kita boleh menang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Mesyuarat UMNO Bahagian berlangsung mulai 9 Jun hingga 27 Julai ini.

Sebelum ini, Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO menetapkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2025 dari 20 hingga 23 Ogos ini.

Tambah Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian, usul memperkukuh UMNO dan persediaan menghadapi PRN dan pilihan raya umum (PRU) dijangka menjadi tumpuan Mesyuarat UMNO Bahagian seluruh negara.

Beliau berkata, usul itu penting untuk dibahaskan perwakilan bahagian bagi memastikan parti dimantapkan, selain mempersiapkan jentera parti berdepan sebarang pilihan raya.

“Oleh itu, perwakilan diminta mengutarakan formula bagi memantapkan semula UMNO supaya ia terus bangkit dan kuat seperti sebelum ini.

“Usul persediaan menghadapi PRN bermula Sabah, Melaka dan Johor serta PRU juga akan menjadi tumpuan kerana dijangka ada beberapa perkara akan disentuh,” katanya. – UTUSAN