UMNO saran penyatuan orang Melayu berasaskan pemikiran, jiwa

Politik

BAGAN DATUK: UMNO menyarankan usaha menyatukan orang Melayu dilakukan berasaskan pemikiran dan jiwa nurani, bukan atas tujuan politik semata-mata.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha menyatukan orang Melayu seharusnya dilakukan dengan tulus, bukan ada maksud lain di sebaliknya.

“Jadi, dengan tidak berhasrat untuk mengenepikan mana-mana pihak bagi menubuhkan sekretariat atau apa-apa nama, mari kita bergabung.

“Yang penting daripada segi fikrah, daripada segi pemikiran, daripada segi jiwa nurani,” katanya kepada pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan satu gerakan dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu ditubuhkan bagi menyatukan bangsa majoriti itu di bawah satu payung besar.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memaklumkan bahawa inisiatif itu sebagai langkah mengembalikan kekuatan politik dan mempertahankan kedudukan orang Melayu di negara ini.

Ia ditubuhkan selepas beliau berbincang bersama beberapa pemimpin antaranya Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Perdana Menteri mengucapkan selamat maju jaya kepada Dr. Mahathir dan berdoa mudah-mudahan beliau berjaya menyatukan parti-parti Melayu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu demi kepentingan kaum itu.

Namun, katanya, harus diketahui bahawa penubuhan asal UMNO pada 11 Mei 1946 berjaya mengumpulkan NGO Melayu dan prinsip untuk penyatuan Melayu keseluruhannya masih dipegang oleh UMNO.

Beliau berkata, ia jelas tercatat di dalam Perlembagaan UMNO, selain memperjuang kedaulatan raja-raja Melayu, meningkatkan syiar Islam dan
menjunjung kedudukan istimewa orang Melayu.

“(Penyatuan orang Melayu) bukan bertujuan apabila partinya tidak ada seorang pun menang dalam pilihan raya yang lalu, apatah lagi hilang deposit semuanya, barulah mencari jalan untuk penyatuan Melayu.

“Sebelum itu, orang itulah yang memecahkan Melayu,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk itu, berkata penubuhan sekretariat untuk menyatukan orang Melayu adalah atas motif politik oleh individu yang berdekad menjadi Perdana Menteri atas nama UMNO.

Beliau menegaskan UMNO tidak akan pernah menerima sebarang bentuk sekretariat yang kononnya bertujuan untuk menyatukan orang Melayu atas dasar politik.

“Kita tetap berada dalam UMNO, kita akan tetap berada di dalam kerajaan Madani,” katanya. – UTUSAN