PADANG TERAP: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memberi peringatan kepada kepimpinan parti supaya memahami konsep perkongsian kuasa dalam pentadbiran negara bagi memastikan kestabilan politik terus terjamin.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menegaskan, semua pihak terlibat tidak boleh terperangkap dalam pemikiran lama sebaliknya menyesuaikan diri dengan realiti politik masa kini yang berubah.
“Saya sentiasa menekankan betapa penting untuk UMNO memahami bagaimana kita mentadbir negara melalui konsep perkongsian kuasa. ‘DNA’ UMNO selama 60 tahun memerintah negara adalah melalui Barisan Nasional (BN).
“Sudah tentu apabila keadaan berubah, segalanya juga perlu berubah. Jika ada semangat perkongsian kuasa itu, secara tidak langsung kestabilan negara dapat dijamin. Dengan kestabilan, akan wujud kesinambungan pembangunan ekonomi yang kita ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Naka, dekat sini hari ini.
Menurut Johari, kestabilan politik hanya akan wujud apabila semua parti dalam kerajaan campuran saling menghormati peranan masing-masing dan bekerja atas dasar persefahaman.
“Sebab itu kita perlu pastikan tiada pertukaran kerajaan dalam penggal yang sedang berjalan sekarang, kerana kita mahu terus melaksanakan tanggungjawab dan membolehkan rakyat menilai prestasi kita,” katanya.
Beliau juga menasihatkan agar pemimpin yang menjadi pembangkang di kawasan-kawasan yang tidak dimenangi parti, membawa diri sebaik mungkin dan terus memberikan khidmat kepada rakyat untuk menawan hati mereka menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Kita jadi pembangkang bukan untuk bangkang secara membuta tuli, tetapi kerana ada kepentingan rakyat yang mungkin terlepas pandang. Bila kita jadi kerajaan, kita juga kena ada kebolehan untuk menerangkan kepada rakyat kenapa sesuatu perkara tidak boleh dilaksanakan dan mengapa perlu lakukan pendekatan berbeza untuk capai matlamat yang sama.
“Sukar untuk mencari negara yang mempunyai kuasa mutlak dalam sesebuah kerajaan pada masa kini. Malaysia juga sedang melalui proses itu dan perlu melakukan sedikit perubahan. Walaupun sejarah dan rekod pencapaian memihak kepada kita, itu tidak menjamin masa depan,” tambah beliau. – UTUSAN