BAGAN DATUK: UMNO perlu berubah dengan menyusun semula strategi menawan minda dan hati rakyat jika mahu kembali menjadi dominan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, kaedah politik lama iaitu berasaskan bantuan dan memberikan perkhidmatan tidak lagi mencukupi kerana peralihan undi boleh berlaku hanya bersandarkan kepada fitnah yang dilemparkan melalui media sosial.
“Kita (UMNO) lemah dalam menangani fitnah dan persepsi. Fitnah yang tersusun lebih dipercayai daripada kebenaran yang tidak tersusun.
“Politik perkhidmatan tidak lagi menjadi asas sokongan (rakyat). Jika kita tidak dapat atasi fitnah, kita akan tewas,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk, di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat sebenarnya mahu melihat UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali berada di barisan hadapan dalam kerajaan dan parti tersebut harus berusaha memastikan impian itu tercapai.
Beliau berkata, prestasi yang ditunjukkan oleh menteri dari UMNO dalam kerajaan perpaduan sekarang meyakinkan rakyat untuk meletakkan kembali BN di puncak kuasa.
Oleh itu, katanya, pemimpin dan ahli parti itu perlu membina kekuatan baharu, berdisiplin, menjawab isu berkaitan dengan segera serta tidak menularkan perkara yang menyentuh 3R.
“Di zaman ini media sosial memainkan peranan penting, di mana satu hantaran atau ‘podcast’ boleh dilihat oleh jutaan orang, kita tidak boleh lagi menggunakan pendekatan lama dengan berceramah di hadapan 30 orang.
“Kita boleh pergi ke rumah-rumah, kita boleh menyantuni rakyat seorang demi seorang, tetapi kadang-kadang mereka yang kita berikan perkhidmatan yang terbaik pun tidak pernah berterima kasih,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk itu, berkata parti itu akan menubuhkan pasukan pengurusan krisis bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, khususnya bagi menangani pelbagai isu berbangkit berkaitan pilihan raya tersebut.
Beliau berkata, pasukan itu juga akan ditubuhkan apabila berlaku PRN di negeri lain. – UTUSAN