Penubuhan Akademi Sepak Takraw disegerakan

Sukan

KUALA LUMPUR: Pembinaan Akademi Sepak Takraw akan disegerakan sempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025 yang disambut di Dataran Merdeka di sini, malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau meluluskan penubuhan akademi itu selepas mendapat permintaan daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mahu melihat sukan itu setanding dengan bola sepak.

“Sukan sepak takraw telah mencatat statistik yang membanggakan di peringkat rantau ini. Hampir setiap kampung, desa dan bandar mempunyai pasukan dan permainan takraw. Kita hidupkan sukan yang mempunyai kaitan dengan seni dan budaya.

“Kita akan jadikan Akademi Sepak Takraw satu realiti di Malaysia dan berharap ia boleh ditubuhkan sebelum hujung tahun ini,” katanya semasa berucap merasmikan Sambutan HBN 2025.

Akademi Sepak Takraw dijangka beroperasi di Stadium Jalan Raja Muda, Kampung Baru.

Ia merupakan pusat pembangunan sepak takraw peringkat akar umbi dan elit yang dikendalikan sepenuhnya oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Kementerian Belia dan Sukan membuat permohonan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi penubuhan akademi tersebut.

Dalam majlis sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM4 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM).

HBN 2025 merupakan platform besar buat belia untuk menyuarakan aspirasi, mempamerkan bakat dan membentuk masa depan negara.

Sambutan penuh meriah itu dihadiri kira-kira 5,000 belia dari seluruh negara.

Bertemakan Yakin Boleh, sambutan tahun ini mengetengahkan lebih 130 aktiviti melalui lima segmen utama antaranya Port Jana Duit (TVET dan kerjaya), Port Healing (kesihatan mental), Port Gaming (e-sukan), Port Wadah Insan, serta Pavilion ASEAN yang menampilkan keterlibatan belia dari 10 negara anggota ASEAN.

Penganjuran HBN 2025 mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama MBM dan rakan strategik dalam memperkasa pembangunan belia melalui pendekatan yang inklusif, progresif dan sejajar dengan arus Revolusi Industri 4.0. – UTUSAN