Speedy Tigers sedia gempur Pakistan

Sukan

PETALING JAYA: Skuad Speedy Tigers berwaspada dengan ancaman pukulan sudut penalti Pakistan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Kapten negara, Muhammad Marhan Mohd Jalil berkata, Pakistan mempunyai pakar pukulan sudut penalti Pakistan, Sufyan Khan yang boleh mengundang padah kepada skuad negara jika tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Bagaimanapun kata Marhan, tumpuan tidak boleh diberikan kepada Sufyan semata-mata kerana ramai lagi pemain Paskitan yang boleh menghadirkan ancaman kepada skuad negara jika mereka diberikan ruang dalam gelanggang.

“Kami tahu dia pakar pukulan sudut penalti. Tapi kami juga kaji cara nak hentikan dia dan berlatih untuk pelari pertama bagi menutup kawasan penalti. Bagi saya, setiap pasukan ada pakar tersendiri,” kata Marhan dalam sidang akhbar pra perlawanan, semalam.

Selain Pakistan, Malaysia turut diundi bersama New Zealand dan Jepun dalam Kumpulan B, manakala Kumpulan A dibarisi Korea Selatan, Perancis, Afrika Selatan dan Wales.

Menurut Marhan, bermain di laman sendiri tidak menjanjikan kelebihan, sebaliknya memberi tekanan tersendiri buat para pemain untuk meraih keputusan positif.

“Bagi saya, setiap perlawanan ada tekanannya, terutamanya bila berada di atas padang. Saya rasa lebih tertekan kerana kami nak beri yang terbaik dan capai keputusan terbaik.

“Perlawanan pertama ini sangat penting bagi saya sebab kita perlukan kemenangan untuk naikkan semangat pemain lain supaya laluan ke separuh akhir lebih mudah. Pada masa sama, kami perlu lebih berdisiplin di atas padang dari minit pertama hingga akhir,” katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih negara, Sarjit Singh berkata, perlawanan pertama pastinya mencabar buat mana-mana-mana pasukan, namun berdasarkan semangat pemain beliau yakin Malaysia akan meraih keputusan positif dalam aksi berdepan Pakistan.

“Semangat pasukan dalam keadaan baik. Kita dah bersedia dengan baik untuk kejohanan ini. Walaupun tewas 0-2 dalam perlawanan persahabatan menentang Wales sebelum ini, pemain mencipta banyak peluang dan menunjukkan permainan berani.

“Kalau kita dapat sesuaikan diri dengan cepat, ia akan beri kelebihan kepada kita. Tapi kalau ambil masa lama nak sesuaikan diri, kita akan terpaksa kejar permainan seperti menentang Wales (kelmarin),” katanya.-UTUSAN