PETALING JAYA: Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Seri Shahidan Kassim yakin mampu meraih sokongan untuk terus mempertahankan jawatan No.1 badan induk olahraga itu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.
Menurut Shahidan, meskipun berdepan persaingan sengit daripada calon lain yang mendakwa turut memiliki jumlah sokongan mencukupi, beliau percaya dirinya masih mendahului dari segi bilangan pencalonan dan keyakinan akar umbi.
“Kalau mereka dakwa ada ‘numbers’, mereka patut menang. Tapi bolehkah? Dia tarik seorang, saya tarik lima. Jadi, saya tetap di hadapan,” katanya kepada pemberita, semalam.
Tambah beliau, ada pihak tertentu yang cuba mencetuskan persepsi negatif dengan bermain sentimen yang boleh mencalarkan imej kepimpinan MA, namun menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan permainan sedemikian.
“Saya diam selama ini kerana saya berkorban. Tapi bila saya nampak mereka cuba korbankan saya pula, saya kena bangkit dan hadapi. Saya tidak akan berundur,” tegasnya.
Ditanya sama ada beliau merujuk kepada mana-mana individu tertentu yang cuba menimbulkan ketegangan menjelang pemilihan, Shahidan enggan menuding jari, namun menyeru agar semua pihak bersikap jujur dan berani tampil secara terbuka.
“Saya tak tuding pada sesiapa. Tapi saya pesan, jangan jadi orang yang baling batu sembunyi tangan. Kalau ada hasrat nak cabar, tampil ke hadapan dengan jati diri yang perkasa,” ujarnya.
Untuk rekod, jawatan Presiden MA bakal menyaksikan saingan empat penjuru melibatkan Shahidan, Timbalan Presiden MA sedia ada, Datuk Mark William Ling Lee Meng; Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP), Datuk Karim Ibrahim; dan Presiden Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Wan Salleh.
Sementara itu, jawatan Timbalan Presiden juga menyaksikan saingan sengit apabila lima calon mengesahkan pencalonan, iaitu Datuk R. Annamalai, Datuk Karim Ibrahim, Sallehudin Safar, Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan Mohamat Hassan.
Turut hangat dipertandingkan ialah jawatan Naib Presiden dengan sembilan calon menawarkan diri untuk merebut empat kekosongan yang tersedia.
Mengikut peraturan pemilihan, setiap calon boleh bertanding lebih daripada satu jawatan, namun hanya dibenarkan untuk memegang satu jawatan sahaja sekiranya menang dalam pemilihan hari ini.-UTUSAN