United optimis dapatkan Ekitike

Sukan

MANCHESTER: Manchester United optimis bahawa Hugo Ekitike akan berpindah ke Old Trafford dalam jendela perpindahan musim panas ini selepas keutamaan Red Devils adalah membawa masuk seorang penyerang berkualiti tinggi.

Pengurus United, Ruben Amorim bertekad untuk mendapatkan seorang penyerang bagi meningkatkan peluang pasukan untuk menamatkan saingan di kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

Menurut portal Perancis, FootMercato, United sedang giat mengadakan perbincangan untuk menandatangani Ekitike dari Eintracht Frankfurt dalam jendela perpindahan musim panas ini.

Red Devils telah mengikuti perkembangan Ekitike sejak zamannya di Reims dan sangat tertarik dengan prestasinya musim lalu.

Penyerang Perancis itu menjaringkan 22 gol dan mencipta 12 bantuan gol dalam 48 penampilan pada kempen 2024/2025, dengan bekas pemain tengah United, Owen Hargreaves, menggambarkan pemain muda itu sebagai penyerang tengah yang sempurna di TNT Sports pada April lalu.

United dilaporkan telah mengambil langkah untuk menandatangani Ekitike dan mengadakan pertemuan dengan ejen pemain berusia 22 tahun itu bagi membincangkan butiran kontrak.

“Perbincangan telah dipercepatkan dalam dua hari lepas antara ejen Hugo Ekitike dan pengurusan United.

“Perbincangan antara United dan wakil pemain berlangsung dengan baik, menunjukkan minat sebenar Red Devils. Kedua-dua pihak optimis selepas pendekatan positif ini,” tulis laporan FootMercato.

Laporan itu turut menambah bahawa Red Devils telah menghubungi Eintracht untuk bertanyakan tentang yuran perpindahan yang diperlukan untuk mendapatkan penyerang tersebut.

Bagaimanapun, bukan United satu-satunya kelab yang berminat mendapatkan Ekitike kerana Liverpool dan Chelsea turut memantau situasi pemain muda itu dan mungkin akan membuat tawaran mereka sendiri. – AGENSI