PASUKAN Marang mengungguli Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Majlis Sukan Sekolah Terengganu buat tahun kedua berturut-turut selepas menumpaskan Kuala Nerus dalam perlawanan akhir di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat, Kemaman, semalam.
Rekod dan prestasi cemerlang berkenaan dicatatkan Marang selepas bangkit daripada ketinggalan jaringan pada babak pertama untuk menundukkan Kuala Nerus 3-2, sekali gus memastikan gelaran serta trofi kejohanan kekal dalam genggaman mereka.
Kejohanan berlangsung tiga hari berakhir Sabtu lalu melibatkan lapan pasukan mewakili Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dalam Terengganu untuk memburu kejuaraan dalam sukan nombor satu negara.
Marang kembali muncul sebagai pasukan digeruni apabila memecahkan kebuntuan gelaran juara pada edisi 2024 dan kecemerlangan itu diteruskan kali ini. – UTUSAN