Penyerang Inter terkandas di Iran

Sukan

LOS ANGELES: Penyerang Inter Milan, Mehdi Taremi tidak dapat menyertai pasukannya bagi saingan awal Piala Dunia Kelab selepas terkandas di Tehran susulan konflik yang sedang memuncak antara Iran dan Israel.

Menurut kenyataan kelab dari Itali itu kelmarin, Taremi yang berusia 32 tahun berada di Iran minggu lalu atas tugasan antarabangsa dan menjaringkan satu gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Korea Utara dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

Bagaimanapun, penyerang itu gagal mendapatkan penerbangan ke Los Angeles untuk menyertai kem latihan bersama rakan sepasukan berikutan ketegangan geopolitik yang sedang melanda rantau berkenaan.

Sumber kelab mengesahkan kepada AFP bahawa Taremi masih berada di negara asalnya dan tidak dapat meninggalkan Tehran buat masa ini.

Inter dijadual memulakan kempen Piala Dunia Kelab menentang kelab Mexico, Monterrey, Selasa ini di Stadium Rose Bowl, Pasadena, yang terletak di timur Los Angeles.

Pertemuan itu juga bakal menjadi penampilan sulung Cristian Chivu selaku ketua jurulatih Inter yang baharu, selepas dilantik menggantikan Simone Inzaghi pada Isnin lalu susulan kekalahan memalukan 0-5 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam final Liga Juara-Juara.

Dalam sidang akhbar rasmi di Beverly Hills, Chivu menegaskan bahawa skuad kendaliannya bersedia untuk bangkit selepas kekecewaan berganda musim lalu, terlepas gelaran Serie A dan gagal menjulang kejuaraan Eropah.

“Kita tidak boleh menafikan perjalanan luar biasa pasukan ini. Mereka mara ke peringkat akhir dan menampilkan aksi konsisten sepanjang musim. Ini bukan kegagalan.

“Kami berjaya menyingkirkan Bayern Munich dan Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara, malah mendahului carta Serie A untuk tempoh yang panjang. Kegagalan sebenar adalah apabila kita mula mencari alasan,” kata Chivu. – AFP